KPLB buat kajian terperinci peningkatan kos sara hidup pelajar di UK dan Ireland

Abd Hadi Che Awang
April 29, 2022 17:42 MYT
Menurut Mahdzir, selain penglibatan MARA, kajian terperinci itu turut dilaksanakan bersama beberapa penaja lain. - Foto Astro AWANI
KUALA NERANG: Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyatakan bahawa pihaknya sedang melaksanakan kajian terperinci melibatkan peningkatan kos sara hidup di United Kingdom (UK) dan Ireland yang ditanggung pelajar Malaysia terutama di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Menurutnya, hasil kajian yang dijangka diperoleh dalam masa terdekat itu akan dipanjangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Kementerian Kewangan.
Tambahnya, selain penglibatan MARA, kajian terperinci itu turut dilaksanakan bersama beberapa penaja lain.
"Di peringkat KPLB, selepas kita dapat dalam waktu terdekat, 'details' mengenai kos peningkatan itu dan kita akan bawa kepada kerajaan khususnya kepada YAB Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan,
"(Ini) disebabkan kalau (pelajar) Ijazah Sarjana Muda, lebih kurang baki yang tinggal dekat dia (adalah sekitar) 800 pound sebulan, kalau (pelajar) yang buat sarjana (atau) 'master degree', (akan) ada lebih kurang 1,000 pound, (dimana) dalam 800 pound dia (perlu bayar) menguruskan diri dia, (sewa) rumah, bil (utiliti), makan, transport, (selepas) kita tengok kos utiliti di United Kingdom sudah naik, jadi ini kita kena kaji," katanya.
Mahdzir berkata demikian ketika sidang media selepas mengedarkan bubur lambuk sumbangan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di Masjid Tengku Sharafuddin Badlishah, Kuala Nerang, pada Jumaat.
Awal April lalu, Astro AWANI melaporkan peningkatan 54 peratus had harga tenaga di United Kingdom (UK) bukan sahaja menjejaskan jutaan rakyat di negara itu, malah turut memberi kesan yang ketara kepada perbelanjaan pelajar-pelajar Malaysia.
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UK dan Ireland (UKEC), Nicole Siaw Chong Lin, menyatakan dia turut menerima maklum balas yang sama dari pelajar-pelajar Malaysia dan impak itu jelas lebih terasa kepada mereka yang menerima tajaan biasiswa daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Jelasnya, data menunjukkan jumlah tajaan dari dua entiti berkenaan tidak menunjukkan peningkatan ketara sejak 10 tahun lepas dan itu sedikit sebanyak memberi kesan terhadap pelajar yang sedang menghadapi kos sara hidup yang tinggi di United Kingdom.
#KPLB #kos sara hidup #tajaan Mara #United Kingdom #Pelajar luar negara #Mahdzir Khalid
;