KPKT terbuka terima cadangan mana-mana kampung sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO

Bernama
Mac 25, 2024 21:15 MYT
Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sentiasa terbuka untuk menerima sebarang cadangan berkaitan pencalonan mana-mana kampung sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Menterinya Nga Kor Ming berkata Kerajaan MADANI mengambil pendekatan untuk sentiasa mengalu-alukan pencalonan kampung tradisi Melayu termasuk di Sabah dan Sarawak sebagai cadangan Tapak Warisan Dunia UNESCO, sekiranya ia menepati kriteria yang ditetapkan.
"Sekiranya terdapat permohonan daripada Majlis Antarabangsa untuk Monumen dan Tapak Warisan (ICOMOS) Malaysia, KPKT bersama Jabatan Warisan Negara serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan membuat pertimbangan dan penelitian bagi cadangan itu.
"Namun perkara ini perlu diselaraskan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah memandangkan kampung-kampung tradisi Melayu adalah di bawah bidang kuasa kementerian itu," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini.
Nga berkata terdapat enam kriteria yang ditetapkan oleh UNESCO bagi pencalonan Tapak Warisan Dunia, antaranya lokasi itu perlu menggambarkan kreatif manusia, mempamer perubahan penting dalam nilai kemanusiaan dan unik kepada tradisi budaya yang masih hidup atau hilang.
Beliau berkata kriteria lain merangkumi aspek seni bina dan teknologi yang menggambarkan peringkat penting sejarah tamadun manusia, interaksi manusia dengan alam sekitar serta terkait dengan peristiwa, kepercayaan atau seni karya sastera berkepentingan.
"Bagi mencalonkan sesuatu kampung sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, lokasi kampung itu mesti mempunyai nilai sejagat yang menonjol dan memenuhi sekurang-kurangnya satu daripada enam kriteria itu," katanya.
-- BERNAMA
#KPKT #Tapak Warisan Dunia UNESCO #Nga Kor Ming #kampung
;