KPKT teliti setiap projek perumahan sakit, jamin hak pembeli terjaga

Bernama
Januari 28, 2023 17:23 MYT
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (kiri) melihat replika Residensi Kepayang pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Kepayang Ipoh hari ini. - Foto BERNAMA
IPOH: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meneliti setiap projek perumahan sakit dan terbengkalai di seluruh negara bagi memastikan kebajikan dan hak para pembeli terjamin.
Menterinya Nga Kor Ming berkata KPKT telah menubuhkan pasukan khas diketuai Timbalannya Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan hasil mesyuarat baru-baru ini telah mewujudkan 'wall room' yang berperanan memantau projek terlibat.
"Kami akan mengambil langkah inisiatif bagi memastikan projek sakit dapat cuba diselamatkan untuk memastikan kebajikan dan hak pembeli dijaga.
"Kementerian telah mengesan sebanyak 550 projek sakit dan terbengkalai di seluruh negara setakat ini dan kita dalam proses mengenal pasti masalah-masalah dengan pemaju dan kontraktor," katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Kunci Residensi Kepayang Ipoh yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan PR1MA Malaysia Datuk Seri Mohd Nazri Md. Shariff di sini hari ini.
Nga yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kepayang berkata Residensi Kepayang Ipoh yang terdiri daripada 252 unit apartmen ialah satu daripada projek sakit yang berjaya disiapkan dan dilengkapi dengan fasiliti seperti dewan serbaguna, tadika, surau, taska dan taman permainan.
Katanya selain Residensi Kepayang, PR1MA juga mempunyai 10 projek lain di Perak antaranya Residensi Falim, Residensi Kampung Paloh, Residensi Meru dan Residensi Bandar Baru Setia Awan Perdana.
"Dalam tempoh 100 hari pertama KPKT sasar siapkan hampir 5,000 unit rumah mampu milik termasuk residensi ini dan banyak di negeri lain. Kita yakin dapat siapkan projek yang belum siap dalam tempoh ini," katanya.
Beliau berkata melalui agensi di bawah KPKT, terdapat lebih 90 projek perumahan mampu milik dan meliputi 40,000 unit rumah disediakan di negeri Perak sehingga kini.
Terdahulu, turut berlangsung upacara menandatangani dokumen persefahaman antara PR1MA dengan Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (Co-opbank Pertama) bagi Skim Rumah CBP MyPR1MA yang menyediakan pembiayaan rumah hingga 110 peratus dengan kadar keuntungan pinjaman serendah 3.85 peratus untuk harga hartanah antara RM250,000 hingga RM500,000.
Kerjasama itu adalah sebahagian daripada usaha menyokong inisiatif KPKT di bawah Skim Rumah Pertamaku bagi memudah cara pembiayaan perumahan untuk rakyat yang memerlukan iaitu pembeli rumah PR1MA yang berkelayakan dapat memiliki rumah tanpa perlu membayar wang pendahuluan, tertakluk kepada terma dan syarat.
-- BERNAMA
#KPKT #projek perumahan sakit #Nga Kor Ming #Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan
;