KPKT tegas batal lesen peniaga buang sisa pepejal di sungai
Astro Awani
November 6, 2023 19:25 MYT
November 6, 2023 19:25 MYT
BATU CAVES: Mana-mana peniaga yang didapati membuang sisa pepejal di sungai bakal berdepan dengan tindakan tegas termasuk lesen perniagaan dibatalkan serta-merta.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menegaskan, kerajaan tidak akan sama sekali berkompromi dalam isu berkenaan.
"Saya telah berbincang dengan Yang Dipertua (Majlis Perbandaran) dan wakil Datuk Bandar (Kuala Lumpur) iaitu untuk peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), kita memberi komitmen sekiranya ada peniaga yang ditangkap membuang sampah atau membuat pencemaran ke anak sungai, kita tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen perniagaan mereka.
"Untuk di Selayang, Majlis Perbandaran Selayang telah memberi komitmen sama bagi mengelakkan aktiviti pencemaran sungai... cuma kawasan ini kependudukannya agak padat, malah difahamkan kawasan domestik ini meliputi tiga kilometer (km) sepanjang anak sungai," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau isu pembuangan sampah di Pasar Borong Selayang, di sini pada Isnin.
Turut hadir, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah menjelaskan, di peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), beberapa isu termasuk dari segi pengurusan terutama di Pasar Harian Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur antara yang diberikan tumpuan.
Susulan lawatan Nik Nazmi baru-baru ini ke Kolam Takungan Banjir Sungai Jinjang, katanya, semakan mendapati dari segi operasi oleh syarikat konsesi Alam Flora, kerja-kerja kutipan sampah dibuat seperti mana ditetapkan setiap hari di kawasan pasar.
"Berdasarkan pemerhatian, KPKT juga mendapati ada kemungkinan sisa pepejal atau bahan buangan yang terdapat dalam sungai adalah buangan domestik.
"Satu lagi sudut yang kita teliti adalah kawasan penjaja atau peniaga yang terletak di luar kawasan pasar. Ini juga titik pertemuan antara kawasan (di bawah bidang kuasa) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS)," katanya.