KPKT sedang wujudkan bandar baharu sifar karbon
Astro Awani
Disember 8, 2023 21:02 MYT
Disember 8, 2023 21:02 MYT
DUBAI: Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang bekerjasama dengan kementerian lain bagi mewujudkan bandar baharu sifar karbon dalam Malaysia.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, usaha itu bagi memastikan negara di landasan tepat dalam mengetengahkan ekonomi hijau, sekali gus mampu menjadi contoh kepada negara lain.
Menurutnya, adalah amat penting isu perubahan iklim dilakukan secara bersama dan bukan hanya satu kementerian terlibat dalam mengatasinya.
“Maka dari perancangan bandar di mana KPKT sedang bekerjasama dengan kementerian lain untuk mewujudkan bandar baharu yang menuju ke arah ‘net zero carbon’.
“Ia adalah supaya negara kita dapat menuju ke arah ‘eco zero carbon neutral’ supaya Malaysia diangkat sebagai model kerana pada masa kini negara kita telah menyatakan hasrat untuk menawarkan diri sebagai anggota Lembaga Eksekutif UN Habitat.
“Malahan Malaysia telah menawarkan diri sebagai Presiden Persidangan UN Habitat 2025. Oleh kerana itu penting Malaysia menunjukkan teladan yang baik baik supaya menjadi contoh kepada negara-negara,” katanya.
Tambah Kor Ming, kerjasama itu juga membuktikan setiap kementerian dalam Kerajaan Perpaduan tidak bergerak secara silo.
Selain itu, katanya, kerjasama tidak hanya boleh melibatkan kerajaan semata-mata sebaliknya perlu sokongan pihak swasta dan rakyat secara keseluruhannya.
“Perubahan iklim adalah isu manusia sejagat yang akan membawa kesan jangka panjang bukan hanya manusia tetapi tamadun satu bangsa.
“Oleh kerana itu di bawah Kerajaan Madani, semua kementerian bekerjasama merentasi kementerian sebagai satu pasukan, khususnya selepas Malaysia sudah komited dengan melancarkan Pelan Transformasi Tenaga Nasional 2040,” ujarnya.
Katanya lagi, kerajaan memerlukan sokongan pihak swasta, institusi pendidikan, pelajar sekolah dan semua anggota masyarakat bagi menjayakan agenda nasional itu.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Khamis.