KPKT sasar pembaziran sisa yang dilupuskan pada bulan Ramadan turun 3 peratus

Umavathi Ramayah
Mac 17, 2024 18:38 MYT
Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, secara puratanya, sebanyak 8,159 tan sisa pepejal dilupuskan di 28 tapak pelupusan di bawah selian SWCorp pada bulan Ramadan tahun lalu. - Astro AWANI
SEPANG: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyasarkan penurunan tiga peratus bagi pembaziran sisa pepejal yang dilupuskan pada Ramadan kali ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, secara puratanya, sebanyak 8,159 tan sisa pepejal dilupuskan di 28 tapak pelupusan di bawah selian SWCorp pada bulan Ramadan tahun lalu.
Daripada jumlah sisa pepejal itu katanya, 35.45 peratus atau 2,892 tan merupakan sisa makanan.
"Namun jika dilihat dari segi angka keseluruhan, sisa makanan yang dihapuskan pada Ramadan 2023 didapati berkurangan sebanyak 3.07 peratus berbanding 2022.
"Justeru berdasarkan pemerhatian terhadap trend pelupusan itu, kita menyasarkan penurunan sebanyak tiga peratus lagi jumlah sisa yang akan dilupuskan pada Ramadan kali ini," katanya pada sidang media pelancaran kempen 'Hargai Makanan, Elak Pembaziran' di Bazar Ramadan Kosmopleks Bandar Baru Salak Tinggi, di sini, pada Ahad.
Penganjuran kempen menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) itu adalah bertujuan mengurangkan pembaziran makanan pada bulan Ramadan ini.
Sementara itu, Aiman Athirah berkata, kempen itu disasarkan berikutan hasil dapatan kajian komposisi sisa pepejal mengikut komponen yang dijalankan perbadanan itu, yang merekodkan sisa makanan menjadi sisa paling banyak dilupuskan di tapak pelupusan iaitu sebanyak 35.45 peratus.
Ia bersamaan dengan 86,766.29 tan daripada keseluruhan 244,756.82 tan sisa pepejal yang dilupuskan sepanjang bukan Ramadan tahun lalu.
"Kajian komposisi ini juga merekodkan komponen sisa makanan yang paling banyak dilupuskan pada bulan Ramadan adalah sisa makanan kategori sisa makanan yang tidak dapat dielakkan daripada dilupuskan iaitu 70 peratus (60,736.4 tan).
"Ia merangkumi sisa makanan seperti kulit telur, tulang dan kulit buah-buahan berbanding sisa makanan kategori sisa makanan yang boleh dielak sebanyak 30 peratus bersamaan dengan 26,029.89 tan iaitu lebihan makanan seperti nasi, pasta, daging, buah-buahan dan sayur-saturan," jelasnya.
Beliau memberitahu, bersempena bulan Ramadan ini, SWCorp akan melaksanakan sesi libat urus bersama penjaja dan pengunjung dengan menyasarkan 71 buah bazar Ramadan di tujuh negeri yang menerima pakai Akta 672 dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan bukan kerajaan (NGO).
Antara pengisian sesi libat urus itu katanya, adalah penyampaian ceramah, pameran, mempromosikan bahan pendidikan dan perkongsian tip mengelakkan pembaziran bersama peniaga dan pengunjung.
"Pelaksanaan kempen ini juga akan melibatkan aktiviti pengumpulan lebihan makanan yang tidak terjual dan diedarkan kepada golongan yang memerlukan menerusi program MySavefood2ramadan dengan kerjasama Pemuda Gema Malaysia.
"Sebanyak 36 buah bazar Ramadan terpilih di tujuh negeri yang menerima pakai Akta 672 akan terlibat dalam aktiviti ini," ujarnya.
Aiman Athirah memberitahu, program itu merupakan inisiatif bersama MARDI bagi mengurangkan pembaziran makanan di bazar Ramadan, di mana lebihan makanan yang tidak terjual akan 'diselamatkan' dan diberikan kepada pihak yang memerlukan seperti golongan asnaf dan gelandangan.
Menurutnya, pada tahun 2023, menerusi program yang sama, sebanyak 10.377 kilogram (kg) lebihan makanan diselamatkan dengan nilaian lebih RM208 dari 55 bazar seluruh negara.
#KPKT #sisa makanan #Ramadan #pengurusan sisa pepejal #Aiman Athirah Sabu
;