KPKT sasar bina 500 unit Rumah Mesra Rakyat di Kelantan
Bernama
Mei 12, 2023 23:24 MYT
Mei 12, 2023 23:24 MYT
KOTA BHARU: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan sejumlah 500 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) akan dibina di Kelantan tahun ini berikutan permohonan yang sangat menggalakkan.
Ketua Setiausahanya, Datuk M Noor Azman Taib, berkata pembinaan tersebut bakal melibatkan RM10 juta subsidi daripada Kerajaan Persekutuan.
"Sejumlah 13,719 permohonan yang kita terima dari Kelantan semenjak program ini diperkenalkan pada 2002 dengan 9,260 unit RMR berjaya dibina melibatkan peruntukan subsidi RM185 juta.
"Sepanjang Januari sehingga April tahun ini, sebanyak 740 permohonan diterima manakala 662 permohonan lagi masih dalam senarai menunggu," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci dan Penghargaan Program RMR peringkat Kelantan, di sini, hari ini.
Menurutnya, pembinaan RMR menyaksikan Kelantan menjadi negeri yang mempunyai jumlah pembinaan tertinggi di Malaysia berbanding negeri lain.
Noor Azman berkata KPKT amat menghargai penerima RMR di Kelantan yangtelah mencatatkan rekod pembayaran semula pinjaman yang baik kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Beliau berkata trend aliran pembayaran itu telah membantu SPNB untuk membuat pusingan modal awal bagi pembinaan unit RMR lain dan secara tidak langsung telah menyumbang kepada pembinaan lebih banyak RMR di seluruh negara.
Dalam pada itu, katanya, terdapat 526 kontraktor yang aktif di Kelantan dan secara keseluruhan 5,286 kontraktor telah berdaftar di bawah SPNB untuk melaksana pembinaan RMR di seluruh negara.
"Program RMR merupakan salah satu inisiatif pihak kerajaan Persekutuan yang dilihat sejajar konsep Perumahan Madani berlandaskan dasar pentadbiran yang lebih manusiawi kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya.
-- BERNAMA