KPKT sasar 50 PBT laksana inisiatif baharu, perkemas prosedur OSC

Bernama
Januari 27, 2024 13:50 MYT
Perkara itu antara empat agenda dan fokus ditekankan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dalam Mesyuarat Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri-Negeri (MEXCOPT) 2024 pada 23 Jan lepas. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan 50 pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melaksanakan inisiatif Industrial Green Lane, Prerequisite dan Self-Regulation tahun ini.
Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan ia bertujuan mengukuhkan kecekapan dan memperkemas proses serta prosedur One Stop Centre (OSC) 3.0 Plus.
"Sebanyak 10 PBT rintis telah dipilih bagi pelaksanaan inisiatif itu yang seterusnya mewujudkan keseragaman bagi semua PBT," menurut kenyataan itu.
KPKT memaklumkan perkara itu antara empat agenda dan fokus ditekankan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dalam Mesyuarat Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri-Negeri (MEXCOPT) 2024 pada 23 Jan lepas.
Menurut KPKT, agenda lain ialah usaha pembangunan 10,000 petak pengecasan kenderaan elektrik (EVCB) menjelang 2025, dengan kini terdapat 1,434 petak pengecasan kenderaan elektrik di seluruh negara.
Nga juga telah meminta kerjasama daripada pihak kerajaan negeri dan tempatan untuk mempergiat usaha dari segi perancangan dan kelulusan bagi pembangunan EVCB di PBT.
"Selain itu, dalam usaha mentransformasikan tandas awam seliaan PBT agar bertaraf Bersih, Menawan dan Wangi (BMW), KPKT sedang mempertimbangkan cadangan supaya lesen operasi tidak diperbaharui bagi premis yang gagal memperoleh sijil tandas bertaraf BMW.
"Inisiatif ini dicadangkan untuk dilaksanakan terlebih dahulu oleh PBT bertaraf bandar raya pada tahun ini sebagai persediaan bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026," menurut kenyataan itu.
KPKT memaklumkan, agenda yang turut ditekankan dalam mesyuarat terbabit ialah memperkenalkan Inisiatif MyKiosk MADANI oleh kementerian itu bagi memulihkan dan meningkatkan tahap ekonomi penjaja dan peniaga kecil melalui penyediaan ruang niaga yang seragam di lokasi yang dibenarkan, selamat dan merupakan tempat tumpuan awam.
Menurut kenyataan itu, sebanyak RM50 juta diperuntukkan di bawah Inisiatif Belanjawan 2024 bagi pelaksanaan MyKiosk 2.0 pada tahun ini.
KPKT memaklumkan sokongan dan komitmen tinggi daripada kesemua Exco kerajaan negeri diperlukan dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan bagi memastikan agenda dan fokus kementerian dapat dijayakan demi manfaat dan kesejahteraan rakyat.
MEXCOPT yang diadakan secara tahunan merupakan platform untuk mewujudkan persefahaman dan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri yang melibatkan hal-hal berkaitan aspek perumahan, kerajaan tempatan, pemantauan pelaksanaan dan prestasi program serta projek pembangunan KPKT di bawah Rancangan Malaysia ke-12.
-- BERNAMA
#Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan #pbt #Industrial Green Lane Prerequisite dan Self-Regulation #One Stop Centre
;