KPKT peruntuk RM308 juta untuk tiga PPR baharu di Perak - Nga

Bernama
September 25, 2023 18:26 MYT
Nga berkata projek yang akan memberi manfaat kepada 6,000 isi rumah itu, adalah PPR Tambun yang akan dibangunkan di bawah DUN Manjoi di atas tapak milik kerajaan negeri. - Gambar fail/Bernama
IPOH: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM308 juta bagi pembangunan tiga projek Program Perumahan Rakyat (PPR) baharu di Perak membabitkan 1,200 unit kediaman di tiga kawasan Parlimen.
Menterinya Nga Kor Ming berkata projek yang akan memberi manfaat kepada 6,000 isi rumah itu, adalah PPR Tambun yang akan dibangunkan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi di atas tapak milik kerajaan negeri.
Beliau berkata projek itu menyasarkan 500 unit rumah bertingkat dengan kemudahan seperti lif, surau, tadika dan balai komuniti dengan anggaran kos RM140 juta yang KPKT kini sedang mendapatkan pertimbangan serta kelulusan khas Kementerian Ekonomi.
Seterusnya, menurut Nga ialah PPR Lenggong di kawasan DUN Kota Tampan melibatkan 300 unit rumah jenis teres berserta kemudahan asas antaranya surau, tadika dan bangunan utiliti, yang dibangunkan di atas tapak diberikan kerajaan negeri dengan anggaran kos RM72 juta.
"PPR Lenggong atau nama asalnya PPR Perak telah diluluskan dalam Rolling Pelan Ketiga (RP3) Tahun 2023, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan akan dilaksanakan secepat mungkin.
"Permohonan ini sedang dalam pertimbangan Kementerian Ekonomi," katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan DUN di sini hari ini.
Bagi PPR Teluk Intan pula, katanya ia terletak di kawasan DUN Changkat Jong dengan 400 unit rumah teres berserta kemudahan asas antaranya surau, landskap dan taman permainan, yang akan dibina di atas tapak milik Perbadanan PR1MA Malaysia dengan anggaran kos RM96 juta.
Menurutnya permohonan PPR Teluk Intan juga telah dikemukakan dan sedang dalam pertimbangan Kementerian Ekonomi.
"Ketiga-tiga projek PPR ini akan membantu menjayakan sasaran kerajaan Persekutuan untuk pembinaan 500,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) di bawah RMK12, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat," katanya.
-- BERNAMA
#KPKT #PPR #DUN Manjoi #Nga Kor Ming #PR1MA
;