KPKT peruntuk RM20 juta laksana program pemerkasaan ekonomi komuniti bandar

Nur Fazlizai Ali
Jun 13, 2022 12:30 MYT
MUHAMAD: Mengikut data, ada lebih kurang 414,000 peserta miskin bandar yang layak untuk kita pertimbangkan untuk mendapat peruntukan dan juga bantuan daripada kita. -Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi melaksanakan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB), sepanjang tahun ini.
Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Komuniti KPKT, Datuk Muhamad Musa berkata melalui program itu pihaknya menyasarkan seramai 2,000 peserta yang berdaftar di bawah program eKasih di seluruh negara.
Menurut Muhamad, program itu adalah untuk membantu golongan kurang berkemampuan dalam meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.
Jelasnya, setiap peserta yang terpilih akan menerima peruntukan sebanyak RM10,000 termasuk barangan keperluan perniagaan dan kursus bimbingan keusahawanan.
"Golongan sasar kita ialah golongan B40 yang berdaftar dengan eKasih. Bermakna semua peserta yang berdaftar dalam Sistem eKasih.
"Mengikut data, ada lebih kurang 414,000 peserta miskin bandar yang layak untuk kita pertimbangkan untuk mendapat peruntukan dan juga bantuan-bantuan daripada kita," kata Muhamad pada majlis perasmian PEKB.
Muhamad berkata bagi memastikan peserta mampu mencapai sasaran ditetapkan, mereka diletak di bawah pemantauan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam kerjasama itu selama enam bulan.
#KPKT #Muhamad Musa #Sistem eKasih #golongan B40
;