KPKT pertimbang elaun tambahan bomba terbabit urus jenazah pesakit COVID-19 - Zuraida

Muhafandi Muhamad
Ogos 7, 2021 17:14 MYT
Anggota JBPM Terengganu yang memakai PPE disanitasi selepas menguruskan pengebumian jenazah pesakit COVID-19 di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kolam Kuala Ibai, Terengganu. - Gambar fail/ Bernama
MACHANG: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mempertimbangkan untuk memberi elaun tambahan kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terlibat dalam pengurusan jenazah pesakit COVID-19.
Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata tugasan itu terutama membabitkan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) mendedahkan mereka dengan risiko jangkitan.
"Pada asalnya, mereka sudah mempunyai elaun khas tetapi apabila berhadapan dengan tugas membabitkan COVID-19 seperti pengurusan serta pengebumian jenazah, ini sebenarnya bukan tugasan bomba.
"Namun, saya beranggapan bahawa perkara ini (elaun tambahan) boleh saya ketengahkan dan mempertimbangkannya kerana risiko yang dihadapi anggota bomba," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Belah, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada KPKT bercadang untuk memberi elaun tambahan kepada anggota JBPM berikutan pasukan itu banyak terlibat dalam pengurusan serta pengebumian jenazah COVID-19.
Turut hadir pada lawatan rasmi berkenaan ialah Pengarah JBPM Kelantan, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Jainal @ Zainal Madasin.
#bomba #COVID-19 #pengurusan jenazah #mayat #pesakit covid #elaun tambahan #Zuraida Kamaruddin #KPKT
;