KPKT lulus peruntukan tambahan RM11.5 juta naik taraf pasar tertua negara
Bernama
Julai 22, 2023 17:45 MYT
Julai 22, 2023 17:45 MYT
TAIPING: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM11.5 juta untuk menaik taraf pasar tertua di negara ini iaitu Pasar Taiping yang terletak di Jalan Taming Sari di sini.
Menterinya Nga Kor Ming berkata hasil perbincangan bersama Jabatan Warisan Negara, struktur pasar berusia 139 tahun itu dikekalkan mengikut ciri-ciri warisan dan reka bentuk sedia ada dengan penggunaan 115 tiang daripada kayu jenis balau yang telah mengalami kerosakan teruk disebabkan anai-anai.
Katanya, Pasar Taiping merangkumi tiga komponen iaitu Pasar Arked Siang Malam, Pasar Lama dan Pasar Baru yang berkeluasan 2,229 meter persegi dan proses naik taraf itu dijangka siap sepenuhnya pada Ogos tahun hadapan.
"Pasar Taiping ialah pasar pertama yang dibina di negara ini ... ia bertaraf warisan negara dan setiap komponen pembinaan penstrukturan yang dibina wajib mengikut acuan serta ciri-ciri bersejarah seperti termaktub dalam Akta Warisan Kebangsaan," katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di pasar berkenaan di sini hari ini.
Sementara itu, Nga berkata sejumlah RM22 juta diperuntukkan bagi 39 projek naik taraf membabitkan kemudahan infrastruktur dan pembangunan di daerah Taiping.
Beliau berkata antaranya projek baik pulih Pasar Aulong melibatkan peruntukan sebanyak RM250,000, menaik taraf empat banglo Rumah Rehat Bukit Larut membabitkan RM820,000 dan menaik taraf Dataran Warisan Taiping dengan peruntukan berjumlah RM500,000.
"Kesemua projek naik taraf ini dilihat sebagai usaha penting untuk membantu penjanaan ekonomi setempat dan meningkatkan kesejahteraan dan keselesaan rakyat," katanya.
Dalam pada itu, Nga berkata KPKT turut meluluskan 26 projek di Kampung Baru Cina di daerah Larut Matang dan Selama bernilai RM4.15 juta melibatkan kerja-kerja baik pulih dan naik taraf kemudahan awam seperti jalan, longkang konkrit, gelanggang permainan dan pagar padang.
"Setiap sen yang dibelanjakan haruslah memanfaatkan rakyat bukan setakat dalam bentuk pembangunan ekonomi tetapi juga dari aspek ihsan dan keinsanan. Tiada pembaziran, ketirisan atau pemborosan," katanya.
Nga berkata keseluruhan peruntukan pembangunan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan bagi 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak yang telah diluluskan setakat Julai tahun ini adalah sebanyak RM51.5 juta.
-- BERNAMA