KPKT lantik pegawai psikologi untuk keluarga Muhammad Adib

Bernama
Disember 19, 2018 05:10 MYT
Muhammad Adib, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada Isnin malam. - Gambar fail
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melantik pegawai psikologi bagi menjalankan sesi intervensi krisis untuk memberikan sokongan moral kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, dalam menghadapi situasi sukar pada masa ini.
Pegawai Psikologi dari Jabatan Siasatan Jenayah, Cawangan Jenayah Seksual (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah Maznah Hassan berkata dia dilantik kementerian itu bagi membantu keluarga Allahyarham terutama ibunya untuk memastikan emosi mereka stabil sekali gus dapat menjalani kehidupan seperti sebelum ini.
"Hari ini lawatan pertama saya berjumpa dengan keluarga Muhammad Adib, iaitu berjumpa dengan ibu Allahyarham, saya nak kenal ibunya dahulu macam mana, tengok keadaan emosi ibunya, macam mana perasaan dan penerimaan dia menghadapi kematian Muhammad Adib ini," katanya kepada pemberita di kediaman keluarga Muhammad Adib di Kampung Tebengau, Kuala Kedah dekat sini pada Rabu.
Maznah berkata jangka masa intervensi krisis itu bergantung kepada perkembangan positif keluarga Allahyarham terutamanya ibunya dalam menerima pemergian anggota bomba berkenaan.
"Selepas ini ada lawatan susulan lagi. Saya akan datang lagi bertemu ibu dan keluarga Allahyarham selepas ini. Saya akan memantau perkembangan mereka dari semasa ke semasa sehingga berpuas hati dan emosi betul-betul stabil," katanya.
BACA: 'Makcik nak tengok muka siapa yang buat Adib'- Ibu
BACA: Kronologi hari-hari terakhir Muhammad Adib
BACA: Kronologi insiden Kuil Sri Maha Mariamman
Muhammad Adib yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 9.41, Isnin malam, selepas dipercayai dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 Nov lepas.
BACA: Akhirnya, Adib pulang jua ke kampung halaman
Jenazah Muhammad Adib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah dekat sini kira-kira 1.45 tengah hari Selasa.
-- BERNAMA
#bomba #intervensi krisis #Jabatan Siasatan Jenayah #keluarga #Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan #KPKT #Kuala Kedah #Maznah Hassan #Muhammad Adib Mohd Kassim #pegawai psikologi #polis #sokongan moral
;