KPKT komited tingkat kecekapan, integriti PBT - Nga
Bernama
Februari 22, 2024 22:47 MYT
Februari 22, 2024 22:47 MYT
SEREMBAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited untuk terus meningkatkan kecekapan dan integriti pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi Kursus Pemantapan Penyata Kewangan PBT yang diadakan di Bandar Enstek di sini.
Menterinya Nga Kor Ming berkata kursus disertai 200 ahli PBT seluruh negara anjuran Jabatan Audit Negara (JAN) itu bertujuan memberikan pendedahan tentang ciri-ciri penyata kewangan yang cekap dan teratur kepada peserta.
"Kursus ini amat tepat dengan aspirasi Kerajaan MADANI supaya semua jabatan dan organisasi awam perlu mempunyai tatakelola yang baik, berkesan, cepat, cekap dan telus bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik dan berintegriti.
"Ini termasuk pengurusan sumber manusia, pengurusan perakaunan dan kewangan serta sistem pelaporan yang jelas. Perkara itu juga merupakan aspek penilaian utama dalam Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan yang dilaksanakan KPKT sejak 2009," katanya dalam kenyataan selepas merasmikan kursus berkenaan hari ini.
Kursus julung kali dianjurkan kepada wakil PBT selama tiga hari bermula semalam itu merupakan inisiatif bersama JAN melalui Akademi Audit Negara (ANN).
Dalam pada itu, beliau berkata negara kini berada di tangga ke-27 dalam ekonomi paling berdaya saing di dunia menurut Indeks Daya Saing Global pada tahun lepas yang merupakan hasil usaha gigih kerajaan dan penjawat awam yang menjadi benteng pertahanan terakhir negara.
Nga berkata menurut Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 pula, Malaysia kini berada di kedudukan 57 berbanding kedudukan 63 pada 2021 sekali gus menunjukkan negara berada di landasan yang betul untuk membina ekonomi negara, selain bukti komitmen kerajaan dalam usaha membanteras amalan rasuah.
Sementara itu, Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam kenyataan berasingan berkata kursus itu dirangka sebagai antara usaha pihaknya meningkatkan pengetahuan pegawai berkaitan penyediaan dan pengurusan penyata kewangan yang teratur.
Beliau berkata ia juga bagi menekankan pematuhan kepada standard perakaunan bagi menangani isu-isu audit berkait dengan penyata kewangan PBT.
Wan Suraya turut berharap kursus yang dianjurkan kali ini dapat memberi pendedahan mencukupi terhadap aspek penyediaan penyata kewangan PBT yang lebih berkualiti dan sebagai platform berkongsi idea serta pengalaman bagi meningkatkan prestasi PBT.
Antara topik yang ditekankan dalam kursus berkenaan ialah Panduan dan Tatacara Penyediaan Penyata Kewangan yang Teratur serta Pemantapan Tata Kelola Pihak Berkuasa Tempatan selain perkara berkaitan Perakaunan dan Isu Berbangkit bagi item utama dalam penyata kewangan seperti tanah dan aset tak ketara.
-- BERNAMA