KPKT komited selesaikan projek perumahan 'sakit' - Reezal Merican

Bernama
Februari 25, 2022 17:24 MYT
KPKT sedang mengkaji pemindaan Akta 118 Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 demi memastikan kebajikan pembeli dijamin sekiranya berlakunya kejadian projek 'sakit'. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited menyelesaikan masalah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Masai di sini yang diklasifikasikan sebagai projek 'sakit' selewat-lewatnya pertengahan tahun hadapan.
Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kementerian itu akan mengambil langkah penyelesaian pantas kerana pembinaan yang telah lewat 312 hari dengan status siap 77 peratus itu mempunyai impak tinggi kepada usaha penyediaan perumahan di kawasan itu.
"Setelah perbincangan, saya melihat masalah yang dihadapi projek ini adalah kontraktor dipertanggungjawabkan mempunyai kesulitan aliran tunai dan kos pembinaan yang tinggi.
"Sebagai menteri KPKT, saya tidak boleh bertolak ansur sebab penyediaan rumah kepada rakyat perlu diutamakan dan insya-Allah perkara ini dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada Jun tahun hadapan," katanya kepada pemberita ketika meninjau status semasa projek perumahan itu di sini hari ini.
Reezal Merican berkata antara langkah KPKT untuk menyelesaikan projek sakit di seluruh negara adalah dengan mewujudkan 'war room' untuk menyelaraskan tindakan penyelesaian.
Menurutnya, KPKT sedang mengkaji pemindaan Akta 118 Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 demi memastikan kebajikan pembeli dijamin sekiranya berlakunya kejadian projek 'sakit'.
Reezal Merican turut meninjau PPR Kempas Permai di sini yang dihuni lebih 8,000 orang.
Beliau juga memaklumkan bahawa PPR adalah inisiatif kerajaan Persekutuan diterajui oleh kerajaan Barisan Nasional untuk mengatasi masalah kekangan perumahan, penempatan semula setinggan dan memenuhi keperluan perumahan golongan B40.
Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Reezal Merican yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata parti itu adalah punca kepada kestabilan politik berikutan pergelutan politik yang melanda negara kebelakangan ini.
Katanya ia dapat dilihat apabila ahli UMNO tampil ke hadapan untuk memimpin negara yang dilanda ketidakstabilan politik dan cabaran pandemik COVID-19.
-- BERNAMA
#projek pembinaan #Kontraktor #kos pembinaan #Reezal Merican Naina Merican
;