KPKT kerjasama dengan BNM, MoF untuk selesai isu pembeli rumah pertama
Isabelle Leong
Jun 4, 2018 18:12 MYT
Jun 4, 2018 18:12 MYT
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin akan mengadakan pertemuan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan untuk membincangkan masalah pembiayaan dan pinjaman untuk pembeli rumah.
Menurut Zuraida, perbincangan tersebut bertujuan mencari jalan penyelesaian, khususnya bagi membolehkan pembeli rumah kali pertama mendapat pemohonan pinjaman dengan lebih mudah.
“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan bermesyuarat dengan Kementerian Kewangan dan juga Bank Negara untuk melihat mekanisme bagi membantu memudahkan pembelian rumah.
“Ketika ini, saya sedang menyelaraskan isu ‘credit rating’ (penarafan kredit) bagi rumah kos rendah.
“Kami akan mengadakan mesyuarat dengan BNM dan Kementerian Kewangan secepat mungkin, selepas Hari Raya Aidilfitri.” kata Zuraida dalam sidang media hari ini.
Beliau juga berharap mekanisme ini mampu memudahkan lebih pemohon untuk mendapatkan pinjaman.
“Jika kami hanya mengambil kira gaji pertama pemohon, berkemungkinan besar mereka tidak mampu. Namun begitu, kebanyakan rakyat Malaysia terutamanya yang berpendapat rendah, mempunyai pendapatan kedua dan ketiga.
“Buat masa sekarang, pendapatan sampingan ini tidak diambil kira dalam sistem pemohonan. Kami mungkin perlu mencari satu mekanisme supaya bukti dokumen dan sebagainya dapat diambil kira bagi memudahkan pemohon,” tambah beliau.
Dalam perkembangan isu warga asing yang menyewa rumah kos rendah dan sederhana, beliau menegaskan bahawa Projek Perumahan Rakyat (PPR) tidak boleh disewakan kepada warga asing kerana ia menyumbang kepada masalah sosial.
KPKT akan meneliti perkara berkenaan dan ia dijangka dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.
#Bank Negara Malaysia
#BNM
#Kementerian Kewangan
#Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
#MOF
#pemohon
#penarafan kredit
#PPR
#Projek Perumahan Rakyat
#warga asing
#Zuraida Kamaruddin