KPKT, kerajaan Pulau Pinang kerjasama tingkatkan taraf hidup rakyat

Bernama
Februari 7, 2023 08:30 MYT
Nga Kor Ming berkata KPKT sentiasa berusaha memberikan yang terbaik selain peka terhadap keperluan dan kebajikan rakyat. - Foto fail/BERNAMA
GEORGE TOWN: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan sentiasa berkerjasama dengan kerajaan Pulau Pinang dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi pelbagai projek yang memberi impak positif.
Menterinya Nga Kor Ming berkata bagi memenuhi tanggungjawab itu, kerajaan Persekutuan melalui KPKT sentiasa berusaha memberikan yang terbaik selain peka terhadap keperluan dan kebajikan rakyat.
"Saya yakin, banyak lagi berita positif bakal kita (KPKT dan kerajaan negeri) lakukan bersama supaya Pulau Pinang akan terus cemerlang, gemilang dan terbilang," katanya kepada pemberita ketika lawatan kerja sehari ke negeri itu pada Isnin.
Terdahulu, beliau bersama Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo merasmikan projek menaik taraf lorong belakang Lebuh Armenian, di sini.
Selain itu, Nga turut mengumumkan bahawa kementeriannya bersetuju memperuntukkan RM16 juta kepada Pulau Pinang tahun ini untuk tabung penyelenggaran perumahan awam.
Beliau berkata peruntukan tersebut demi menjaga kebajikan penduduk negeri itu khususnya di rumah pangsa awam.
"Jumlah ini adalah untuk menambah baik dan membaiki kerosakkan yang dialami rumah pangsa awam seperti bumbung, tangki air, lif, selenggara wayar elektrik dan cat semula," katanya.
-- BERNAMA
#Nga Kor Ming #KPKT #tingkat taraf hidup #pelbagai projek
;