KPKT kenal pasti tanah wakaf bangun rumah mampu milik B40
Astro Awani
Disember 2, 2018 13:49 MYT
Disember 2, 2018 13:49 MYT
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengenal pasti tanah wakaf di negara ini yang boleh dibangunkan dengan projek perumahan untuk golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata pihaknya turut mewajibkan agar kerajaan negeri tampil memberikan tanah kepada KPKT bagi tujuan sama.
Menurut laporan Bernama, tegas beliau kebanyakkan golongan B40 mempunyai isi rumah antara lima hingga enam orang dan menetap di dalam rumah bersaiz 650 kaki persegi.
"Mereka sepatutnya diberikan rumah yang selesa, yang sesuai untuk didiami dan boleh dianggap sebagai tempat untuk sekeluarga berteduh.
"Kita hendak mewajibkan rumah mampu milik mempunyai keluasaan sekurang-kurangnya 900 kaki persegi dan memiliki kemudahan riadah, surau dan sebagainya," katanya selepas merasmikan mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) kali ke-25, di sini, hari ini.
Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang, berkata sekiranya projek perumahan berkenaan diberikan oleh negeri, sebagai contoh, kos pembinaan itu akan lebih rendah dan mampu dimiliki golongan B40.
Selain itu, katanya, kos yang dipatuhi termasuk bekalan air dan elektrik mampu diturunkan.