KPKT harus jadi pusat kecemerlangan - Nga

Bernama
November 11, 2023 04:30 MYT
Menurut Nga Kor Ming, banyak inisiatif yang dilaksana KPKT dan agensi-agensinya bersifat proaktif serta mendahului pihak lain dalam pelbagai aspek. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) harus menjadi pusat kecemerlangan seiring dengan keupayaannya yang sering menjadi perintis dalam melaksanakan program dan inisiatif kerajaan serta perkhidmatan awam.
Menteri berkenaan, Nga Kor Ming berkata, banyak inisiatif yang dilaksana oleh kementerian itu dan agensi-agensinya bersifat proaktif serta mendahului pihak lain dalam pelbagai aspek.
"Ini seperti pelaksanaan MyMudah, Bitara MADANI, Seni Bina Perusahaan serta OSC 3.0 yang menunjukkan organisasi kita sentiasa proaktif, produktif dan sentiasa mendahului dalam banyak segi," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT 2023, di sini, malam Sabtu.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Mengenai pencapaian KPKT dan agensinya pada tahun ini, Nga berkata, kementerian itu telah memenangi 10 anugerah utama di peringkat kebangsaan serta antarabangsa dan berharap kejayaan tersebut akan diteruskan.
"Saya yakin jika kita terus menghidupkan semangat untuk menjadi cemerlang, kita akan bergerak sebagai satu pasukan dengan lebih pantas, cekap dan unggul. Justeru, saya menyeru semua warga KPKT dan PBT (pihak berkuasa tempatan) untuk bersama-sama melakar lebih banyak kejayaan pada tahun hadapan," katanya.
Mengulas penganjuran Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT 2023, Nga berkata, ia bertujuan memantapkan tahap motivasi seluruh pasukan kementerian itu agar lebih cemerlang dalam aspek pelaksanaan tugasan, kepimpinan, inovasi dan sosial dalam memastikan kesejahteraan rakyat.
Sebanyak 12 kategori dipertanding merangkumi lapan anugerah bagi kategori individu iaitu Anugerah Keunggulan Menteri, Anugerah Berlian KPKT, Anugerah Kepimpinan Terbaik dan Anugerah Kepimpinan PBT Terbaik.
Empat lagi ialah kategori berpasukan iaitu Anugerah Hijau KPKT, Anugerah Organisasi Sejahtera, Anugerah Organisasi Paling Responsif dan Anugerah PBT Cemerlang.
Pemenang menerima penghargaan dan ganjaran dalam bentuk hadiah wang tunai bernilai sehingga RM20,000 (tertakluk kepada kategori), sijil, trofi dan kursus jangka pendek di universiti ternama luar negara bagi kategori terpilih. - BERNAMA
#KPKT #pusat kecemerlangan #Nga Kor Ming #agensi
;