KPKT garis langkah jamin kesejahteraan rakyat, peniaga selaras Ekonomi Madani

Bernama
Ogos 1, 2023 17:12 MYT
Nga berkata KPKT menyediakan jaminan kerajaan hingga RM5 bilion menerusi penambahbaikan SJKP sehingga 120 peratus, khususnya kepada golongan berpendapatan tidak tetap untuk memiliki rumah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggariskan beberapa langkah utama dalam menjamin kelangsungan hidup rakyat dan peniaga selaras dengan pelaksanaan inisiatif di bawah konsep Ekonomi Madani.
Menterinya Nga Kor Ming berkata langkah di bawah kerangka Ekonomi Madani itu termasuk memperkenalkan MyKiosk, kios hijau pertama dalam negara berbekalkan tenaga solar, melibatkan perbelanjaan RM50 juta dengan peniaga kecil tidak perlu membayar bil elektrik dan pada masa sama diberi suntikan modal supaya diberi pengecualian sewa selama enam bulan pertama.
"Menerusi MyKiosk, peniaga kecil tepi jalan tanpa lesen kini 'dihalalkan' dan selepas enam bulan pertama, sewa tidak lebih RM10 sehari... secara keseluruhannya kita menjangkakan satu kiosk akan dapat mencipta pendapatan (tambahan kepada peniaga)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.
Selain itu, Nga berkata KPKT menyediakan jaminan kerajaan hingga RM5 bilion menerusi penambahbaikan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) sehingga 120 peratus, khususnya kepada golongan berpendapatan tidak tetap untuk memiliki rumah.
"Kita bantu golongan pendapatan tidak tetap, seperti pengusaha ekonomi gig dan pemandu Grab untuk memiliki rumah... sesiapa tidak dapat pinjaman bank, kerajaan peruntuk RM5 bilion untuk jaminan rumah, bukan 100 peratus tetapi sehingga 120 peratus, termasuk fi guaman, semua di bawah jaminan kerajaan dengan skim SJKP akan diperkenalkan dengan segera," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata KPKT sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan (MoF) untuk mewujudkan Tabung Perumahan Negara bagi isi rumah tidak memiliki rumah yang ingin membeli rumah pertama.
"KPKT melalui Jabatan Perumahan Negara akan mencadangkan kepada MoF supaya wang deposit sebanyak 10 peratus disumbangkan oleh kerajaan kepada isi rumah supaya mereka dapat memiliki rumah pertama," katanya.
Beliau berkata Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah menyiapkan 15,445 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR), dua tahun lebih awal serta melepasi sasaran Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) untuk membina 15,000 unit RMR menjelang 2025.
"Kementerian sedang menggembleng semua tenaga kerja untuk mencapai keseluruhan sasaran pembinaan 500,000 unit RMR... setakat ini, kita berada di landasan yang betul," katanya.
Dalam perkembangan lain, Nga berkata KPKT sedang menyediakan garis panduan pengecasan kereta elektrik (EV) bersumberkan tenaga diperbaharui.
"Kementerian sedang bekerjasama dengan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa serta Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memastikan semua bangunan bakal dibina pada masa akan datang mempunyai stesen mengecas EV. Kita sasarkan supaya akan ada 10,000 tempat mengecas EV menjelang 2025," katanya.
-- BERNAMA
#KPKT #Nga Kor Ming #rakyat #ekonomi madani
;