KPKT fokus tiga agenda utama bantu rakyat - Reezal Merican

Raja Hisyam Raja Zaid
September 2, 2021 14:23 MYT
Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengimbas kad perakam waktu di KPKT pada hari pertama beliau memulakan tugas sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 1 September (Rabu). - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memberi tumpuan terhadap tiga fokus utama dalam membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, tiga fokus tersebut termasuk program imunisasi bagi mereka yang terbabit dalam Program Perumahan Rakyat (PPR).
Bagi menjayakan Program Mobilasi Vaksin Komuniti (MOVAK), KPKT, kata Reezal Merican, akan meminta tambahan peruntukan vaksin dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Sebelum ini KPKT telah diperuntukan sebanyak 80,000 dos di mana 33,000 telah digunakan dan kita akan memberi keutaman di negeri-negeri yang masih berada di bawah paras capaian imuniti kelompok yang digariskan," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini pada Khamis.
Menurut Reezal Merican, keberkesanan program imunisasi vaksinasi dalam kalangan peserta PPR adalah penting bagi membolehkan mereka kembali melakukan aktiviti pekerjaan yang menjadi sumber pendapatan selama ini.
Selain itu, KPKT juga, jelas beliau, sedang merancang untuk melihat keperluan menyediakan kediaman bagi golongan tersebut yang tidak lagi mampu mencari tempat perlindungan kesan daripada krisis pandemik yang melanda ketika ini.
"Seterusnya adalah untuk bantu mereka yang terkesan seperti penjaja dari kalangan penduduk PPR. Ini termasuklah tentang masalah sewaan dan sebagainya.
"Saya akan umumkan paling awal Isnin ini untuk lihat keperluan menyediakan kediaman atau tempat bagi mereka yang tidak mampu akibat COVID-19," kata Reezal Merican.
Selain itu, beliau turut memaklumkan, Pelan Pemulihan Ekonomi Negara turut menjadi fokus utama KPKT dalam memainkan peranan bagi memastikan agenda kerajaan berjalan dengan baik termasuk dengan menyediakan Pelan Pemulihan Ekonomi di peringkat kementerian.
#Malaysia #COVID-19 #ekonomi #imuniti kelompok #Kementerian Kesihatan #KKM #pandemik #Putrajaya #Reezal #suntikan #vaksin
;