KPKT cadang tubuh perbadanan khas urus, selenggara PPR

Bernama
Oktober 24, 2019 06:11 MYT
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memaklumkan, penubuhan Perbadanan Pengurusan Perumahan Negara akan dilaksanakan setelah Akta 3P dibentang dan mendapat persetujuan di Kabinet dan Parlimen. - Gambar hiasan
Kerajaan bercadang menubuhkan Perbadanan Pengurusan Perumahan Negara (3P) yang akan berfungsi sebagai agensi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan Program Perumahan Rakyat (PPR) di bawahnya.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di dalam laman sesawang Parlimen pada Khamis memaklumkan penubuhan 3P merupakan salah satu pelan tindakan di bawah Dasar Perumahan Negara (2018-2025).
"Penubuhan 3P sebagai satu agensi di bawah Kerajaan Persekutuan adalah bertujuan untuk melaksana, mengurus dan menyelenggara perumahan awam dan swasta kos rendah dan kos sederhana.
"Antaranya meliputi aspek pengisian dan pengurusan perumahan awam, kutipan sewa, penyelenggaraan bangunan dan kemudahan bersama selain menyelaras aktiviti berkaitan komuniti," menurut kementerian itu.
Kenyataan itu bagi menjawab soalan Datuk Zakaria Mohd Edris (PH-Libaran) mengenai sama ada kerajaan bersedia menubuhkan sebuah perbadanan yang dikawal oleh Kerajaan Persekutuan dengan meletakkan penyelenggaraan PPR di bawahnya.
VIDEO: Tiada pekerjaan alasan biasa, gagal bayar sewa PPR
BACA: Rakyat memang tidak mampu beli rumah, ini puncanya... - Bank Negara
BACA: Cuepacs rayu rumah mampu milik untuk penjawat awam dikekalkan
Kementerian itu turut memaklumkan penubuhan 3P akan dilaksanakan setelah Akta 3P dibentang dan mendapat persetujuan di peringkat jemaah menteri dan Parlimen.
-- BERNAMA
#3P #Akta 3P #jemaah menteri #Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan #kerajaan #kerajaan Persekutuan #kerja-kerja penyelenggaraan #KPKT #Parlimen #perbadanan khas #Perbadanan Pengurusan Perumahan Negara #perumahan #PPR #Program Perumahan Rakyat #rumah
;