KPKT bertindak tegas isu bilik 'sangkar burung'
Sinar Harian
Oktober 15, 2023 13:07 MYT
Oktober 15, 2023 13:07 MYT
IPOH: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik premis yang menyediakan bilik 'sangkar burung' jika gagal mengubah kembali kepada bentuk asal premis berkenaan.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, perkara tersebut amat serius kerana pengubahsuaian tersebut mengundang risiko kesihatan mental dan keselamatan jika berlaku kebakaran.
Menurutnya, tindakan segelintir pemilik membuat ubah suai ruang di dalam rumah sehingga menjadi amat sempit, tidak kondusif, malah sesetengahnya tidak berperikemanusiaan.
"KPKT mengambil pendirian tegas dan memberi amaran kepada semua pemilik rumah yang telah melakukan ubah suai tanpa kebenaran dari PBT (pihak berkuasa tempatan) untuk mengubah semula kepada bentuk asal atau tindakan tegas akan diambil.
"KPKT dengan kerjasama PBT, serta agensi-agensi terbabit akan memantau secara aktif keadaan ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Pasar Sementara Pasir Pinji di sini pada Ahad.
Kor Ming berkata, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 79, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1975 di mana di bawah undang-undang tersebut, PBT antaranya diberi kuasa untuk meruntuhkan binaan tersebut dan segala kos ditanggung pemilik premis.
Tambahnya, selain itu denda tidak melebihi RM500 dan juga denda tambahan tidak melebihi RM100 setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
"Saya rasa terpanggil untuk memberikan amaran dulu, sekiranya masih ada lagi pihak yang gagal mematuhi undang-undang maka mereka tidak boleh salahkan kepada kerajaan.
"Sekiranya nak buat pengubahsuaian sila mohon kepada PBT dan bukan membuat partition yang berlebihan ataupun keterlaluan sehingga membahayakan nyawa-penyewa," katanya.
Beliau berkata, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga turut memandang serius mengenai isu tersebut.
Sementara itu, Kor Ming menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bilik 'sangkar burung' itu boleh melaporkan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) atau aplikasi i-Tegur.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan wujud bilik sewa kapsul seperti 'sangkar burung' yang hanya memuatkan sebuah tilam dengan sewa RM300 sebulan. Bilik sewa yang turut mengabaikan aspek keselesaan dan keselamatan itu semakin bercambah ekoran sikap pemilik rumah yang mahu mengaut keuntungan berlipat ganda.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian