KPKT beri tempoh dua tahun kepada pengusaha perkhemahan patuhi GPP

Bernama
Disember 2, 2023 16:27 MYT
Penyediaan GPP ini ekoran kejadian tanah runtuh yang melibatkan sebuah tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor pada 16 Dis tahun lepas yang mengorbankan 31 nyawa. - Gambar fail
IPOH: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun kepada pengusaha tapak perkhemahan dalam negara supaya mematuhi Garis Panduan Perancangan (GPP) Tapak Perkhemahan yang dikeluarkan, bermula hari ini.
Menterinya Nga Kor Ming berkata garis panduan berkenaan yang berkuat kuasa bulan ini bertujuan menjadi panduan pengurusan dan pengoperasian tapak perkhemahan untuk pihak pengusaha dan operator tapak perkhemahan serta orang awam.
"Kita buat garis panduan ini bukan untuk menghukum sesiapa, ia dibuat untuk membantu pengusaha tapak perkhemahan kerana kita juga menerima maklum balas daripada mereka yang tidak tahu bagaimana nak mengikuti garis panduan.
"Penyediaan GPP ini ekoran kejadian tanah runtuh yang melibatkan sebuah tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor pada 16 Dis tahun lepas yang mengorbankan 31 nyawa," katanya pada sidang media selepas melancarkan GPP Tapak Perkhemahan di Taman D.R Seenivasagam di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nga berkata enam prinsip garis panduan perancangan tapak perkhemahan meliputi keselamatan, keselesaan, kemampanan, kesinambungan sosial, kemakmuran ekonomi dan kepatuhan perundangan.
Nga berkata semua enam prinsip garis panduan itu perlu dipatuhi supaya pengunjung yang pergi ke tempat perkhemahan akan berasa terjamin dari segi keselamatan dan keselesaan seperti tempat perkhemahan dengan kawasan air terjun perlu dijarakkan sekurang-kurangnya 10 meter.
Katanya Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) mengambil masa empat bulan untuk menyiapkan GPP itu melalui pelbagai siri libat urus dan sesi perkongsian input kepakaran dengan pelbagai agensi.
Beliau berkata antara yang terlibat adalah pihak dari Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Kerja Raya termasuk pihak berkuasa tempatan dan 150 pengusaha tapak perkhemahan dari seluruh negara.
Menurutnya terdapat beberapa perkara mengenai GPP yang perlu diperkemaskan oleh KPKT antaranya keperluan penilaian sebelum pembangunan dan pengoperasian tapak perkhemahan dijalankan serta keperluan penilaian impak alam sekitar (EIA).
Dalam kejadian tanah runtuh pada pukul 2.30 pagi di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali 16 Dis tahun lepas, 61 terselamat manakala 31 lagi terkorban selepas runtuhan tanah itu menimbus kawasan perkhemahan.
-- BERNAMA
#garis panduan perkhemahan #pengusaha #keselamatan #orang awam #Nga Kor Ming
;