KPKT bentuk jawatankuasa seragam lesen AP proses sisa plastik

Adie Sufian Zulkefli
Mei 13, 2019 00:24 MYT
GAMBAR FAIL: Zuraida Kamaruddin (kanan) melawat kilang memproses sisa plastik di Telok Panglima Garang, Banting pada 25 Sept, 2018. - BERNAMA
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah membentuk sebuah jawatankuasa untuk menyeragamkan penguatkuasaan bagi pemberian lesen import (AP) kepada kilang memproses sisa plastik di negara ini.
Menurut Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin, jawatankuasa terbabit turut dianggotai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Katanya, penyeragaman yang bakal dilaksanakan itu bertujuan memperkasakan penguatkuasaan, sekali gus memudahkan tindakan diambil terhadap kilang yang tidak mematuhi syarat yang ditetapkan.
"Jadi, ada 26 kod yang digunakan di negara ini, yang dikendalikan KPKT hanyalah kod import 3915 kod selebihnya hanya menjalani pemeriksaan biasa.
"Saya akan kaji semula skop plastik lain untuk kita gunakan SOP (prosedur operasi standard) yang mengawal selia proses itu supaya ada penyeragaman.
"Yang ada AP sahaja boleh bawa plastik masuk dan ini memudahkan penguatkuasa untuk mengambil tindakan," katanya selepas menyerahkan sumbangan sempena Program Infaq dan Iftar Perdana Penggerak Muafakat Nasional Kedah di Masjid Batu 5, dekat Gurun, Kedah pada isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kementeriannya sudah meluluskan 44 daripada 54 permohonan AP selepas 18 syarat baharu ditetapkan pada Disember lalu.
Tambahnya, AP yang diberikan kepada pengilang adalah khusus untuk sisa plastik kod 3915 sahaja.
#AP sisa plastik #Jabatan Kastam Diraja Malaysia #Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan #KPKT #Lesen Import #sisa plastik #Zuraida Kamaruddin
;