KPKT bentang RUU Pembaharuan Semula Bandar tahun depan

Bernama
Ogos 2, 2024 07:30 MYT
Nga pada program Santai Pagi Bersama YB KM: Temu bual Eksklusif Pencapaian Separuh Tahun KPKT di Putrajaya, 2 Ogos 2024. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dijangka membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar pada sesi pertama Parlimen tahun depan.
Menterinya Nga Kor Ming berkata kementerian itu juga sedang menggubal RUU Sewaan Kediaman, selain bercadang meminda Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan Pelesenan) 1966, Akta Perkhidmatan Bomba 1988, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.
"Kesemua enam perancangan penggubalan dan pindaan sedang dijalankan dan kami harap dapat diselesaikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-16," katanya progam Santai Pagi bersama YB KM: Temu Bual Eksklusif Pencapaian Separuh Tahun KPKT di sini, semalam.
Nga berkata pihaknya juga sedang menyiapkan kertas kerja bagi mendapatkan pengesahan daripada Kabinet bagi membentuk hubungan bandar bersaudara antara Putrajaya dan Shanghai.
Menurutnya, cadangan itu tercetus susulan lawatan beliau ke bandar raya terbesar China itu Oktober tahun lepas, selain mahu melaksanakan inisiatif bandar pintar yang terdapat di sana.
Sementara itu, Nga berkata KPKT telah mencapai 85 peratus pelaksanaan 10 daripada 12 inisiatif yang tersenarai dalam Belanjawan 2024 setakat 21 Jun lepas.
-- BERNAMA
#Nga Kor Ming #Parlimen #RUU Pembaharuan Semula Bandar #Putrajaya-Shanghai
;