KPKT akan terus gempur bilik sewa 'sarang burung'
Bernama
Oktober 19, 2023 20:19 MYT
Oktober 19, 2023 20:19 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi amaran akan terus menggempur premis komersial dan kediaman yang diubah suai untuk dijadikan bilik sewa umpama 'sarang burung', kata Menterinya, Nga Kor Ming.
Beliau berkata ini berikutan terdapat pemilik premis kediaman yang bertindak mengubah suai rumah dan bilik mereka tanpa kelulusan pihak berkuasa.
Katanya, pemilik premis harus mematuhi garis panduan serta spesifikasi yang ditetapkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Pihak Berkuasa Tempatan, supaya tidak terdedah dengan risiko bahaya kebakaran.
Beliau berkata tindakan susulan akan diambil bagi memastikan peruntukan undang-undang dapat dikuatkuasakan dan keselamatan nyawa dan harta daripada risiko kebakaran dapat dipelihara atau dilindungi.
"Antara tindakan akan diambil termasuk mengeluarkan Notis Menghapuskan Bahaya Kebakaran di bawah Seksyen 8 Akta 341, memberi suatu tempoh sesuai kepada pemunya premis untuk mematuhi notis dan sekiranya tidak dipatuhi, satu kertas siasatan akan dibuka bagi tujuan pendakwaan," katanya selepas Operasi Menghalang Bahaya Kebakaran (MBK) di Taman Maluri, di sini, hari ini.
Operasi MBK dilaksanakan setelah pemilik premis yang menyediakan perkhidmatan bilik sewa umpama 'sangkar burung' seakan 'liang lahad' di Taman Maluri gagal mematuhi amaran diberikan kerana membuat pengubahsuaian bangunan tanpa kebenaran.
Beliau berkata pihaknya telah memberikan amaran sejak lima hari lepas setelah kegiatan itu didedahkan media tempatan namun pihak bertanggungjawab tidak memberi sebarang respons terhadap saranan yang diberikan oleh kementeriannya selain gagal mengubah kembali premis atau bangunan kepada bentuk asal.
"Satu pemeriksaan mengejut dilakukan di sini dan tujuannya bagi mengenal pasti wujudnya bahaya kebakaran di premis yang telah dibuat pengubahsuaian menjadi bilik-bilik sewa 'sangkar burung'. Apa yang saya lihat, adalah satu keadaan yang merbahaya terhadap penghuninya," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan mengenai bilik sewa 'sangkar burung' yang ditawarkan kepada orang ramai di Taman Maluri.
Bilik sewa kecil yang ditawarkan itu didapati tidak menepati ciri-ciri keselamatan dan kebakaran bangunan serta tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa bagi pengubahsuaian premis dua tingkat berkenaan.
-- BERNAMA