KPKT akan pinda Akta 118, bantu pembeli projek perumahan terbengkalai

Astro Awani
April 11, 2021 16:52 MYT
Zuraida berkata terdapat kelonggaran dalam undang-undang sedia ada yang menyukarkan tindakan lebih tegas diambil terhadap pemaju. - Gambar fail
KUCHING: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam perancangan untuk meminda Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesanan) 1966 (Akta 118).

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata terdapat kelonggaran dalam undang-undang sedia ada yang menyukarkan tindakan lebih tegas diambil terhadap pemaju.

Secara dasar, pindaan itu dirancang untuk mengawal dari berlakunya projek terbengkalai sekaligus membela nasib pembeli rumah.
"Ketika ini undang-undang kita agak longgar dengan hanya menyenarai hitam sahaja pemaju-pemaju berkenaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan pejabat Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) cawangan Sarawak di sini hari ini.
Sementara itu, Zuraida memberitahu KPKT turut menilai model rumah panjang untuk dilaksanakan di Sarawak sesuai dengan struktur tradisi perumahan masyarakat Dayak di negeri itu.
“Mungkin Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) juga boleh memikirkan bagaimana kita boleh bantu mereka untuk membina rumah untuk Rumah Panjang kerana suatu ketika dahulu saya memang telah mengumumkan untuk membuat satu polisi Rumah Panjang.
"Maka mudah kita ada satu standard yang kita boleh ikut. Penduduk Rumah Panjang juga boleh buat pemindahan atau buat cara hidup yang baharu dengan perumahan yang baharu dengan kemudahan yang baharu,” katanya lagi.

Sehingga kini SPNB berjaya menyiapkan sebanyak 2,904 unit rumah kediaman SPNB di Sarawak dengan 2,504 buah unit rumah lagi dalam perancangan.

Manakala sehingga Mac 2021, sebanyak 6,551 permohonan Rumah Mesra Rakyat (RMR) diterima di negeri itu, 1,492 unit daripadanya telah siap dan 240 unit lagi telah diperuntukkan untuk pembinaan tahun ini.
#Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan #KPKT #rumah terbengkalai #Zuraida Kamaruddin #Rumah panjang #Akta 118 #pemaju #pembeli rumah #SPNB
;