KPKT akan laksana pembangunan semula rumah lama - Noh

Bernama
Mac 20, 2018 05:14 MYT
kerajaan akan membina 7,000 unit lagi PPR di seluruh negara yang membabitkan peruntukan keseluruhan RM700 juta sehingga hujung tahun ini. - Gambar hiasan
Kerajaan melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan melaksanakan pembangunan semula rumah lama demi keselesaan dan kebaikan rakyat di negara ini, kata Menterinya Tan Sri Noh Omar.
Beliau berkata satu undang-undang baharu dan badan khusus akan diwujudkan bagi memastikan kelancaran pembangunan semula rumah yang terlibat agar tidak berdepan halangan dan bantahan daripada pihak tertentu.
"Kita dapati ada banyak rumah lama yang mungkin berusia lebih 20 tahun yang dahulunya sesuai didiami pada waktu dahulu... ada rumah yang kadang-kadang satu bilik dan ada juga dua bilik dengan keluasan 600 kaki persegi.
"Mungkin kita boleh gunakan Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam yang akan menguruskan pembangunan semula rumah terlibat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong di sini malam ini.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Timbalan Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Paya Rumput Datuk Sazali Muhd Din.
Projek PPR Krubong bernilai RM101 juta itu melibatkan pembinaan 600 unit pangsapuri kos rendah berkeluasan 700 kaki persegi.
Pembinaan projek di atas kawasan kira-kira 14.3 ekar (5.72 hektar) itu bermula pada 26 Sept 2013 dan siap sepenuhnya pada 29 Nov 2016 dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas termasuk surau, tadika, parkir kereta, taman permainan dan dewan serba guna.
Mengulas lanjut, Noh berkata projek pembangunan semula rumah lama berkenaan telah mula dilaksanakan di Wilayah Persekutuan melibatkan Razak Mansion dan Residensi Kerinchi dan ia akan diperluas secara berperingkat ke seluruh negara.
"Bila kita hendak laksanakan usaha berkenaan kita dapati banyak halangan dan rintangan daripada pihak pembangkang seperti di Residensi Kerinchi yang mana kira-kira 30 penduduk terpengaruh dengan hasutan dan membawa isu tersbeut ke mahkamah. Namun akhirnya niat yang baik itu tetap dapat dilaksanakan," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata kerajaan akan membina 7,000 unit lagi PPR di seluruh negara yang membabitkan peruntukan keseluruhan RM700 juta sehingga hujung tahun ini.
"Ini menunjukkan kerajaan Barisan Nasional begitu komited untuk menyediakan perumahan PPR pada masa depan, memandangkan projek berkenaan diterima dengan baik dan begitu dekat di hati rakyat. Jangan jadi seperti Selangor rakyat bagi undi, negeri bagi baldi," katanya.
Sementara itu Noh berkata, di Melaka sahaja, kerajaan akan membina 620 unit lagi rumah PPR di Melaka iaitu PPR Tangga Batu (120 unit), PPR Cheng (500 unit) pada tahun ini selain PPR Bukit Baru (250 unit) dalam masa terdekat.
-- BERNAMA
#KPKT #Noh Omar #Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam #perumahan #rumah #rumah lama #Tan Sri Noh Omar #undang-undang
;