KPKT akan adakan sesi libat urus, tambah baik OSC 3.0 Plus
Bernama
Mac 19, 2024 20:45 MYT
Mac 19, 2024 20:45 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengadakan sesi libat urus hingga September ini bagi menambah baik Pusat Setempat (OSC) 3.0 Plus di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).
Timbalan Menterinya Datuk Aiman Athirah Sabu berkata sesi libat urus pertama untuk tujuan berkenaan akan diadakan di zon selatan melibatkan Johor, Melaka dan Negeri Sembilan pada 29 hingga 31 April ini.
"Seterusnya taklimat sama akan diadakan di zon utara (Pulau Pinang, Kedah dan Perlis) pada Jun, zon tengah (Selangor dan Perak) pada Julai dan zon timur (Pahang, Terengganu dan Kelantan) pada Ogos dan September ini.
"Hasil sesi libat urus berkenaan yang melibatkan semua pemegang taruh akan diambil kira dalam penambahbaikan tersebut, selain untuk memastikan semua pihak sentiasa memberi komitmen dan kompetensi dalam memastikan kelancaran proses OSC 3.0 Plus," katanya dalam sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) yang ingin tahu langkah KPKT menambah baik pelaksanaan OSC di semua PBT dalam usaha menangani perbuatan pecah amanah dan melicinkan urusan pelaksanaan projek khususnya melibatkan pelabur dalam dan luar negara.
Sebelum ini, KPKT menyasarkan 50 PBT dalam perlaksanaan inisiatif 'Industrial Green Lane', 'Prerequisite' dan 'Self-Regulation' bagi mengukuhkan kecekapan dan memperkemas proses serta prosedur OSC 3.0 Plus.
KPKT memaklumkan perkara itu adalah antara empat agenda dan fokus ditekankan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dalam Mesyuarat Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri-Negeri (MEXCOPT) 2024 pada 23 Jan lepas.
-- BERNAMA