KPKM yakin keupayaan NAFAS bekalkan baja subsidi kepada petani
Bernama
Jun 26, 2023 18:10 MYT
Jun 26, 2023 18:10 MYT
GURUN: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yakin dengan keupayaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), untuk membekalkan baja bersubsidi kepada kepada petani di seluruh negara.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata NAFAS menerusi kilang pengeluaran bajanya di sini, mampu memenuhi keperluan baja oleh para petani dan menjaga kebajikan mereka.
"Pembekalan baja ini merupakan program kerajaan untuk mengurangkan kos pengeluaran padi, di samping meningkatkan pendapatan petani dan pesawah seluruh negara.
"Oleh itu, menjadi tanggungjawab NAFAS untuk memastikan tahap kawalan dan prosedur kerja, bagi setiap pembekalan baja yang dibuat kepada petani melalui Pertubuhan Peladang Kawasan," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) di sini hari ini.
MNFSB merupakan syarikat usaha sama NAFAS dan Petronas Chemicals Fertilizer Kedah Sdn Bhd, yang mula beroperasi pada 2004.
Ia merupakan lawatan pertama Mohamad ke kilang baja NAFAS bagi melihat sendiri proses pembuatan, gudang penyimpanan serta bagi mendapatkan gambaran secara menyeluruh, proses pembuatan baja bagi skim subsidi kerajaan.
Dalam pada itu, Mohamad berkata NAFAS turut memberi jaminan bahawa bekalan baja ke seluruh negara, akan mencukupi dan diedarkan mengikut jadual penanaman padi tahun ini.
Justeru, katanya para peladang tidak perlu bimbang dan menasihatkan mereka agar mendaftar awal untuk mendapatkan baja tersebut.
Selain itu, Mohamad turut mengucapkan tahniah kepada NAFAS, yang baru-baru ini mengumumkan dividen Dana Peladang Kebangsaan (DPK) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022, sebanyak lapan peratus untuk Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP).
"Walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu di seluruh dunia dan Malaysia, NAFAS dapat dividen lapan peratus pada tahun ini. Kita ucap tahniahlah kerana berjaya dalam suasana sukar ini dapat juga beri dividen kepada mereka yang melabur, semuanya para peladang," katanya.
Pada majlis sama, NAFAS turut memperkenalkan produk baja baharu keluaran MNFSB, Silgrow Plus, iaitu baja mineral silikon yang berfungsi sebagai perapi tanah, yang antara lain dapat menggalakkan akar, mempergiatkan proses fotosintesis, menguatkan daya ketahanan tanaman terhadap penyakit dan serangga perosak.
-- BERNAMA