KPKM terima 18,642 permohonan BUDI Agri-Komoditi setakat ini - Mohamad
Bernama
Jun 29, 2024 19:16 MYT
Jun 29, 2024 19:16 MYT
KLANG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah menerima 18,642 permohonan bantuan BUDI Agri-Komoditi setakat ini, kata Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata walaupun permohonan yang diterima daripada petani dan pekebun kecil di seluruh Semenanjung itu agak tinggi, namun KPKM masih berharap lebih ramai golongan berkenaan berbuat demikian selepas ini.
"Jumlah itu secara umumnya sudah banyak, tapi kita masih berharap lebih ramai tampil memohon dan kementerian akan memudahkan urusan permohonan tersebut.
"Kita harap mereka yang layak memohon bantuan berkenaan agar usaha kerajaan memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak, tercapai," katanya kepada pemberita pada perasmian program Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Fest 2024@ Selangor, di sini hari ini.
Kerajaan sebelum ini melancarkan inisiatif BUDI MADANI sebagai inisiatif memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak meliputi bantuan individu (BUDI Individu), petani serta pekebun kecil (BUDI Agri-Komoditi), serta syarikat dan kenderaan pengangkutan menerusi (MySubsidi Diesel).
BUDI Agri-Komoditi meliputi sumbangan tunai RM200 kepada petani dan pekebun kecil di Semenanjung yang berdaftar dengan KPKM atau Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Dalam pada itu, Mohamad berkata Malaysia berpotensi meneroka pasaran produk makanan ke Negara Bebas Komanwel (CIS), dalam usaha kerajaan bagi meningkatkan lagi jumlah eksport negara ke peringkat antarabangsa.
"Sebagai contoh, kopi negara kita seperti Tongkat Ali turut dikenali di luar negara dan boleh diterima pasaran antarabangsa. Oleh itu, kita perlu menggunakan peluang itu untuk menerokai negara CIS seperti Kazakhstan dan Tajikistan," katanya.
Mengulas mengenai perkembangan usaha KPKM membantu masyarakat Orang Asli dalam mengusahakan tanaman durian dalam skala besar, Mohamad berkata perkara tersebut masih dalam perbincangan bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Pada 21 Jun, Mohamad dilaporkan berkata KPKM dalam perancangan menjadikan masyarakat Orang Asli sebagai antara penggerak utama bagi penanaman durian berskala besar di negara ini, berikutan terdapat banyak lokasi berdekatan kediaman mereka berpotensi dibangunkan sebagai kawasan penanaman durian berkualiti serta mampu menembusi pasaran luar negara, khususnya di China.
Terdahulu, Mohamad berkata program FAMA Fest 2024@ Selangor yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis, merupakan acara tahunan FAMA bagi mempromosi dan memperkenalkan produk pertanian serta agromakanan tempatan kepada orang ramai.
Sebanyak lapan siri penganjuran FAMA Fest disasarkan dilaksana tahun ini, bermula di Perak dan diikuti Sarawak, Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur serta Sabah, dengan sasaran nilai jualan RM7.85 juta, melibatkan seramai 755 orang usahawan.
-- BERNAMA
#BUDI Agri-Komoditi
#Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
#Mohamad Sabu
#Penyasaran subsidi diesel