KPKM teliti cadangan penubuhan agensi khusus tingkat keterjaminan makanan
Bernama
Jun 20, 2023 12:27 MYT
Jun 20, 2023 12:27 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang meneliti cadangan penubuhan agensi khusus bagi meningkatkan keterjaminan makanan sebagai agenda nasional.
Timbalan Menteri berkenaan Chan Foong Hin berkata idea penubuhan agensi itu dicetuskan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) awal tahun ini, sebagai salah satu inisiatif mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Chan berkata kajian awal KPKM mendapati penubuhan agensi sekuriti makanan negara hendaklah dilihat secara holistik merangkumi empat aspek utama iaitu elemen ketersediaan, kebolehcapaian, keselamatan makanan dan pemakanan serta kestabilan dan kemampanan.
"Oleh itu penubuhan agensi sekuriti makanan negara memerlukan penilaian lanjut berkaitan implikasi perundangan, kewangan, sumber manusia dan penyelarasan semula fungsi serta peranan antara kementerian," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Katanya dalam usaha meningkatkan keterjaminan makanan, kerajaan turut mengamalkan pendekatan rentas kementerian bagi memastikan sistem makanan negara mantap dan berfungsi dengan cekap dan produktif.
Beliau menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat untuk menubuhkan Agensi Makanan Malaysia dalam usaha meningkatkan keterjaminan makanan sebagai agenda nasional.
Selain itu Chan berkata KPKM turut komited memastikan keterjaminan makanan khususnya dalam membentuk sistem pengeluaran makanan negara yang berdaya tahan dan membantu pihak pengeluar makanan.
"Antara usaha yang telah dilaksanakan adalah peruntukan infrastruktur yang moden dan cekap, pemberian insentif, sokongan dalam bentuk khidmat nasihat dan teknikal, geran, dana pembiayaan, pengecualian cukai, subsidi dan akses pasaran serta padanan perniagaan," katanya.
-- BERNAMA