KPKM sedang susun jawatankuasa khas tangani kekurangan beras putih tempatan - Mohamad Sabu
Bernama
November 24, 2024 16:30 MYT
November 24, 2024 16:30 MYT
SHAH ALAM: Satu jawatankuasa khas sedang disusun bagi mencari penyelesaian kepada isu kekurangan bekalan beras putih tempatan yang berlaku ketika ini.
Ringkasan AI
- Jawatankuasa Khas: Sebuah jawatankuasa khas sedang disusun untuk mencari penyelesaian kepada isu kekurangan bekalan beras putih tempatan, dengan kerjasama antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
- Transformasi Agensi: KPKM sedang mentransformasikan agensi dan badan berkaitan pengeluaran padi, termasuk Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), untuk mengatasi masalah kekurangan beras tempatan.
- Promosi Penanaman Padi: KPKM giat mempromosikan penanaman padi ala Sekinchan secara besar-besaran dan melaksanakan pelbagai pendekatan untuk memastikan bekalan beras putih tempatan mencukupi di pasaran.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kementeriannya sedang melakukan kerjasama dengan pelbagai pihak lain termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengatasi masalah berkenaan.
"Jawatankuasa ini sedang disusun...dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) (Datuk Seri Isham Ishak) juga akan ambil isu ini sebagai isu yang besar bagi mencari jalan (penyelesaian) terbaik," katanya selepas merasmikan Konvensyen Negeri Selangor Parti Amanah Negara (Amanah) 2024 di sini hari ini.
Beliau mengulas pertanyaan pemberita berhubung isu yang dibangkitkan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkenaan beras putih tempatan yang didakwa sehingga kini hampir tidak terdapat di pasaran ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan 2025) peringkat jawatankuasa bagi KPKM di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya ketika ini dalam usaha mentransformasikan agensi dan badan berkaitan pengeluaran padi negara termasuk Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bagi mengatasi masalah kekurangan beras tempatan.
Selain itu, Mohamad berkata KPKM sedang giat mempromosikan penanaman padi ala Sekinchan secara besar-besaran untuk meningkatkan pengeluaran padi pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat 24 Okt lepas berkata pelbagai pendekatan sedang dilaksana KPKM bagi memastikan keberadaan bekalan beras putih tempatan di pasaran.
Beliau berkata antara pendekatan dilaksanakan adalah mengedar beras putih tempatan melalui program jualan dan rangkaian di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta rantaian pasar raya terpilih.
Di samping itu, rombakan strategi melalui pelaksanaan reformasi industri padi dan beras antaranya pemantapan tatakelola melalui pengasingan kuasa melibatkan Bahagian Pembangunan Industri Padi (PIP), Kawalselia Padi Beras (KPB) dan wakil kerajaan dalam Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).
-- BERNAMA
#Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
#Mohamad Sabu
#kekurangan bekalan beras putih tempatan
#jawatankuasa khas