KPKM sasar 5,000 Program Jualan Agro Madani seluruh negara

Petrus Bernard
Mei 25, 2024 19:18 MYT
Arthur menyampaikan cek cura bernilai RM483,850 kepada usahawan di daerah ini dan sekitarnya yang terlibat meliputi beberapa projek Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) - Astro AWANI
TAWAU: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan 5,000 Program Jualan Agro Madani (JAM) di seluruh negara tahun ini bagi menangani kos sara hidup rakyat dan meningkatkan pendapatan usahawan tempatan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, program ini bertujuan memastikan nasib golongan kurang mampu sentiasa terpelihara dalam menghadapi kos sara hidup yang tinggi pada hari ini.
Katanya, sokongan dan galakan berterusan akan dilaksanakan bagi membantu golongan berpendapatan B40 dan M40.
“Jualan ini juga turut membantu rakyat mendapatkan akses barangan makanan asas terus daripada pengeluar dan pengusaha.
“Justeru, program ini dapat menyumbang kepada peningkatan, kebolehdapatan dan ketersediaan bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan pada kadar harga yang berpatutan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Jualan Agro Madani Mega yang diadakan di perkarangan Majlis Perbandaran Tawau (MPT), di sini.
Mengulas lanjut, katanya, pengguna yang datang membeli di karnival ini juga dapat menikmati sehingga 30 peratus potongan harga kerana ia tidak melibatkan orang tengah.
“Kita telah membawa sebanyak 4,000 kampit beras dalam program kali ini dan dijual pada harga lebih murah iaitu RM25 untuk 10 kilogram.
“KPKM menyasarkan nilai jualan sebanyak RM850,000 sepanjang tiga hari tempoh karnival di daerah ini dengan menarik kehadiran kira-kira 30,000 orang pengunjung,” katanya.
Menurutnya, JAM akan diperluaskan pelaksanaannya dengan sasaran sebanyak 5,000 lokasi sehingga Oktober tahun ini.
“Pencapaian Jualan Agro Madani pada tahun lalu mendapat sambutan sangat menggalakkan dan telah mencatatkan nilai jualan RM93.74 juta setelah diadakan di 5,608 lokasi seluruh negara.
“Program ini juga berjaya mencatatkan nilai penjimatan sebanyak RM27.8 juta kepada 11.6 juta isi rumah,” katanya.
Terdahulu, Arthur turut menyampaikan cek cura bernilai RM483,850 kepada usahawan di daerah ini dan sekitarnya yang terlibat meliputi beberapa projek kementerian.
Ia termasuklah Naiktaraf Agrobazaar RNR, Naiktaraf Agrobazaar Kedai Rakyat dan Agrobazaar Rakyat, Medan Gerai Buah-buahan Segar Semporna, Naiktaraf K-Shoppe dan Naiktaraf Imej Produk.
Turut hadir, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui dan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Aminuddin Zulkipli.
#Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan #Jualan Agro Madani #Arthur Joseph Kurup #Tawau
;