KPKM mahu generasi muda ceburi sektor perikanan sebagai nelayan moden

Bernama
Julai 30, 2024 20:00 MYT
Arthur berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan NEKMAT kali ke-39 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur semalam. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mahu golongan belia menceburi sektor perikanan sebagai nelayan moden.

Ringkasan AI
  • Penglibatan Belia dalam Sektor Perikanan: KPKM mahu belia menceburi sektor perikanan sebagai nelayan moden untuk memastikan kelestarian sekuriti makanan negara dan mengelakkan monopoli oleh warga asing.
  • Pendidikan dan Latihan Teknikal: Tiga institusi di bawah KPKM menawarkan TVET berasaskan industri perikanan dengan kemudahan yuran, elaun makan, dan penginapan percuma, serta pendedahan kepada teknologi moden seperti simulator pemanduan bot dan VR.
  • Sokongan dan Kebajikan Nelayan: KPKM akan menjaga kebajikan nelayan yang terjejas oleh fenomena Monsun Barat Daya dan meneruskan skim subsidi diesel dan petrol untuk meringankan kos operasi nelayan.

Timbalan Menterinya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata penglibatan golongan belia sebagai nelayan muda dan moden, adalah sangat penting kepada sektor perikanan negara bagi memastikan kelestarian sekuriti makanan negara.
"Kementerian akan terus menyokong usaha murni ini, agar profesion nelayan tidak diangggap sebagai kerja 3D (kotor, bahaya dan sukar), tetapi sebagai suatu kerjaya yang dapat memberikan peluang pekerjaan kepada belia dan mendatangkan pulangan hasil yang lumayan.
"Ini kerana kita tidak mahu suatu hari nanti sektor perikanan negara dimonopoli warga asing. Kita berhadapan cabaran, kita mempunyai nelayan dan petani yang menua, masalah ini bukan sahaja di negara kita malah hampir di semua negara," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) kali ke-39 tahun 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah NEKMAT Abdul Hamid Bahari.
Arthur berkata di bawah pusat bertauliah di bawah KPKM, terdapat tiga institusi yang menawarkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berasaskan industri perikanan, iaitu Kolej Pertanian Malaysia (KPM) di Kedah, Kolej Perikanan Sultan Nazrin Shah (KPSN) di Perak dan Akademi Perikanan Malaysia (APM) di Terengganu.
"Dengan pelbagai kemudahan seperti yuran percuma, elaun makan dan penginapan percuma, pelatih didedahkan kepada pelbagai teknologi moden yang memberi pelbagai faedah, seperti penggunaan simulator pemanduan bot nelayan dan perisian Virtual Reality (VR) aktiviti penangkapan ikan," katanya.
Sementara itu Arthur berkata KPKM memberi jaminan akan menjaga kebajikan nelayan sekiranya terjejas dengan fenomena Monsun Barat Daya.
"KPKM akan usahakan sekiranya nelayan terjejas, dengan menyediakan bantuan dari tabung bencana dan sebagainya, dalam memastikan golongan itu memperoleh pendapatan untuk meneruskan operasi perikanan mereka," katanya.
Terdahulu, Arthur dalam ucapannya berkata urus niaga NEKMAT bagi tahun berakhir 2023 mencatatkan keuntungan bersih lebih RM9.32 juta.
"Prestasi keuntungan NEKMAT amat membanggakan. Tahniah dan syabas diucapkan kepada Pengerusi dan pengurusan NEKMAT. Semoga dapat meningkatkan keuntungan dalam usaha memperkasakan sosioekonomi masyarakat nelayan di negara ini.
"Bagi saya nelayan merupakan penyumbang penting dalam memajukan sektor perikanan negara dan dalam masa yang sama, turut memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi dan terjamin," katanya.
Arthur berkata pada tahun ini, kerajaan masih meneruskan skim subsidi diesel dan petrol kepada nelayan, dan kuota diesel bersubsidi yang telah diluluskan ialah sebanyak 70 juta liter dengan kadar harga subsidi yang ditetapkan ialah RM1.65 seliter bagi diesel dan petrol.
Justeru, pihaknya berharap agar nelayan dapat memanfaatkan subsidi ini dengan baik dan telus, tanpa menjual kembali kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.
Terdahulu Pengurus Besar NEKMAT Azrin Shah Ismail berkata pihaknya berharap kerajaan akan meneruskan subsidi minyak untuk nelayan, kerana ia mampu meringankan kos operasi nelayan ke laut.
"Sekurang-kurangnya jika kerajaan beri elaun sara hidup dan insentif subsidi minyak ini, dapat bantu sebahagian kecil nelayan," katanya.
-- BERNAMA
#Arthur Joseph Kurup #nelayan moden #perikanan #sekuriti makanan