KPKM lancar operasi beras putih tempatan bermula 16 Ogos
Astro Awani
Ogos 16, 2023 16:13 MYT
Ogos 16, 2023 16:13 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memandang serius video yang ditularkan berikut video dakwaan penipuan bungkusan kampit beras.
KPKM dalam satu kenyataan memberitahu pihaknya akan melaksanakan Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) yang dilaksanakan bermula 16 Ogos 2023.
OP BPT akan memberi fokus pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas kilang padi (komersial) dan pemborong beras.
Ia dijalankan bagi memastikan keseluruhan rantaian bekalan pengedaran beras di semua peringkat mematuhi peraturan dan perundangan sedia ada.
Dalam pada itu, KPKM ingin memberikan peringatan kepada semua pengilang, pemborong dan peruncit agar tidak sesekali melakukan penyelewengan ke atas penjualan beras.
Ini termasuk dengan menukar bungkusan/label beras putih tempatan (BPT) kepada beras putih import (BPI) dan dijual pada harga jualan runcit beras putih import (BPI).
Sehubungan itu, KPKM akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat kesalahan perihal satu kenyataan palsu mengenai gred beras di bawah Seksyen 21 Akta Kawalselia Padi dan Beras [Akta 522] boleh dikenakan penalti.
Individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM25,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tempoh dua tahun atau kedua-duanya dan syarikat boleh didenda sehingga RM50,000.