KPKM laksana langkah bantu tingkatkan pendapatan negara - Mohamad Sabu

Bernama
Ogos 24, 2024 21:15 MYT
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu (lima kiri) bergambar bersama para penerima sumbangan ketika hadir pada Perasmian Road to MAHA @ Kota Raja sempena MAHA 2024 di MARDI Klang hari ini. - Foto BERNAMA
KLANG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang melaksanakan beberapa langkah dalam membantu meningkatkan pendapatan negara susulan jangkaan peningkatan terhadap perbelanjaan kerajaan.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata antara langkah yang dilaksanakan menerusi usaha meningkatkan jumlah eksport produk pertanian dan makanan serta penerokaan pasaran baharu di luar negara.
Beliau berkata langkah itu bertujuan mengimbangi nilai import dan eksport negara sekali gus menyumbang kepada penambahan pendapatan kerajaan.
"Kita juga sedangkan menumpukan kepada peningkatan pengeluaran nanas bagi memenuhi permintaan antarabangsa sekitar 4,000 kontena setahun sedangkan kita hanya mampu membekalkan 800 kontena sahaja, sangat rendah berbanding permintaan.
"Insya-Allah tahun hadapan kita dijangka dapat mengurangkan import bawang kecil selepas mula sebarkan benih bawang kecil secara besar-besaran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Projek Mesra Rakyat @ Parlimen Kota Raja 2024 di sini hari ini.
Mengulas mengenai Belanjawan 2025, Mohamad berharap kementerian itu diberikan peruntukan tambahan bagi tujuan menyelesaikan isu saliran dan perparitan kawasan sawah di Sabah sekali gus membantu meningkatkan pengeluaran padi negara.
Berhubung Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024, Mohamad berkata pihaknya menyasarkan kehadiran tiga juta pengunjung pada acara yang dijadual berlangsung dari 11 hingga 22 Sept.
Beliau berkata MAHA 2024 juga menyaksikan peningkatan penyertaan pempamer antarabangsa yang bakal membawa bersama peralatan pertanian moden bagi diperkenalkan kepada industri tempatan selain produk pertanian.
-- BERNAMA
#KPKM #pendapatan negara #Mohamad Sabu #Perbelanjaan kerajaan
;