KPKM hadkan pembelian maksimum 100kg beras putih tempatan

Irwan Muhammad Zain
September 7, 2023 16:32 MYT
Azman menjelaskan, keputusan itu adalah sebahagian daripada usaha kementerian untuk mengatasi gangguan bekalan beras terbabit di pasaran. - Gambar Astro AWANI/Mohd Shahir Omar
SERDANG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menetapkan had pembelian maksimum 100 kilogram (kg) beras putih tempatan (BPT) bagi setiap individu atau syarikat berkuat kuasa serta-merta, kata Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood.
Azman menjelaskan, penetapan dibuat mengikut Peraturan 10(1)(b) Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996 itu sebahagian daripada usaha kementerian untuk mengatasi gangguan bekalan beras terbabit di pasaran.
Katanya, keputusan itu mengambil kira gangguan bekalan BPT yang dikenal pasti berpunca daripada pembelian secara pukal, terutama dalam kalangan peniaga.
Beliau yang juga Setiausaha Bahagian Industri Padi dan Beras berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati segelintir peniaga membeli BPT sehingga 600 kampit untuk menjimatkan kos dan mengaut keuntungan mudah.
"Kita dapati ada peniaga-peniaga yang membeli beras putih dalam satu masa dalam 500-700 kg.
"Sebab itu kita buat sekatan bermula pada hari ini, sepuluh pek sahaja mengikut peraturan 10(1)(b) setiap orang hanya boleh membeli sepuluh kampit beg, sepuluh kilo ataupun 100 kilo," katanya selepas menghadiri Sesi Dialog Belanjawan 2024 KPKM Bersama Pemain Industri dan Pihak Berkepentingan Di Bawah Sektor Padi dan Beras di Mardi pada Khamis.
Azman menggesa pemborong dan peruncit mematuhi penetapan berkenaan bagi mengelak dikenakan tindakan, termasuk pembatalan lesen ke atas mereka.
"Pihak syarikat yang dikenal pasti gagal mematuhi penetapan ini juga boleh didenda RM25,000 untuk kesalahan pertama, manakala RM50,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
"Individu persendirian pula boleh didenda RM15,000 bagi kesalahan pertama, manakala RM25,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya," katanya.
Dalam pada itu, Azman ketika ditanya dakwaan wujud tindakan manipulasi bekalan BPT berkata, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang bukti membabitkan tindakan segelintir golongan tidak bertanggungjawab yang dikatakan menukarkan bungkusan BPT kepada kampit beras import.
#KPKM #Azman Mahmood #beras #BPT #beras putih tempatan #harga beras
;