KPKM dengan kerjasama rentas agensi terlibat dalam Program Beras Ganu

Bernama
September 9, 2023 04:20 MYT
Pada 2021, sebanyak 450 tan metrik berjaya dihasilkan dan hanya merupakan enam peratus daripada bekalan beras di pasaran Terengganu. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Jabatan Pertanian turut terlibat dalam Program Beras Ganu yang mendapat Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP).
Agensi lain yang terlibat adalah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA KETARA), Kawalselia Padi dan Beras (KPB) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam kenyataan media pada Sabtu memaklumkan pesawah yang terlibat hanya memperoleh insentif upah mesin padi RM8 bagi setiap guni (85 kilogram) pada 2021 dan RM9/guni pada 2023 yang merupakan sumbangan kerajaan negeri.
"Ini adalah sebagai tambahan kepada bantuan diberikan oleh Kerajaan Persekutuan bagi insentif tanaman padi melalui pemberian subsidi input seperti benih padi sah, baja, racun, bajak, kapur dan subsidi output Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) berjumlah hampir RM1.63 bilion setahun di seluruh negara termasuk di Terengganu," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, sehingga kini keluasan tanaman padi di Terengganu yang mendapat pensijilan myGAP adalah berjumlah 908.70 hektar daripada keluasan 12,000 hektar.
Dari segi penghasilan Beras Ganu myGAP pada 2021, sebanyak 450 tan metrik berjaya dihasilkan dan hanya merupakan enam peratus daripada bekalan beras di pasaran Terengganu.
"Untuk rekod, tahap sara diri (SSL) bagi beras di Terengganu pada 2022 adalah 56 peratus ekoran bencana banjir luar jangka yang berlaku dan bukannya 78 peratus seperti dilaporkan oleh sesetengah pihak," kata kenyataan itu.
Tular satu mesej yang mendakwa Terengganu berjaya meningkatkan kadar cukup sara diri beras dari 42.7 peratus pada 2019, 49.22 peratus (2020), 54.15 peratus (2021) dan 78.87 peratus pada 2022.
myGAP merupakan merupakan skim pensijilan yang dirangka dan dilaksanakan sejak 2002 untuk mengiktiraf ladang yang mengamalkan amalan pertanian baik bagi mengeluarkan makanan yang selamat dan berkualiti, menjaga keselamatan alam sekitar, serta menjamin keselamatan dan kebajikan pekerja.
-- BERNAMA
#KPKM #Program Beras Ganu #MyGap #terengganu
;