KPKM bangunkan semula tanah sawah terbiar untuk tanaman padi

Bernama
November 5, 2024 04:00 MYT
Mohamad Sabu berkata bagi tujuan itu, kementerian sudah mengenal pasti beberapa kawasan tanah sawah terbiar di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. - Foto Facebook/Mohamad Sabu
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang menumpukan usaha membangunkan semula tanah sawah terbiar untuk penanaman padi sekali gus meningkatkan Tahap Sara Diri (SSR) beras negara.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata bagi tujuan itu, kementerian sudah mengenal pasti beberapa kawasan tanah sawah terbiar di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
"Berdasarkan statistik tahun lepas, tahap SSR beras negara hanya mencapai 56.2 peratus dan selebihnya masih perlu diimport. Apa akan jadi jika suatu hari nanti negara lain menghentikan eksport beras mereka?
"Dengan ketegangan geopolitik dunia dan perubahan cuaca luar jangka yang berlaku sekarang, sekatan eksport tidak mustahil boleh berlaku," katanya ketika merasmikan Konvensyen Kebangsaan Kumpulan Pengguna Air (KPA) di sini pada Selasa.
Beliau berkata antara faktor banyak tanah sawah terbiar adalah disebabkan penghijrahan dan kurangnya minat generasi muda terhadap penanaman padi.
Sementara itu, Mohamad sekali lagi menegaskan bahawa KPKM tidak akan campur tangan dalam urusan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).
Beliau bagaimanapun berkata KPKM akan sentiasa memberikan kerjasama yang sepenuhnya dalam apa jua pertolongan yang diperlukan oleh SPRM dalam urusan tersebut.
"Saya harap semua tidak perlu bimbang dengan operasi NAFAS pada waktu penggantungan ini kerana ia akan diuruskan oleh barisan pentadbir yang mahir dalam tugasan mereka," katanya.
Pada 29 Okt lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya memulakan siasatan dan pembongkaran berhubung penyelewengan dan ketirisan projek pembekalan baja padi sebuah pertubuhan di bawah kementerian berkenaan.
Susulan itu pada 1 Nov lepas, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Amir Matamin dilaporkan berkata Perlembagaan NAFAS digantung berkuat kuasa pada hari sama, bagi menambah baik tatakelola dan tadbir urus pertubuhan itu.
-- BERNAMA
#KPKM #bangunkan semula tanah sawah terbiar #tanaman padi #Mohamad Sabu
;