KPKM aktifkan bilik gerakan bencana bantu golongan terjejas banjir

Bernama
November 29, 2024 17:52 MYT
Bilik Gerakan Bencana KPKM sedang memantau keadaan cuaca, membuat hebahan awal kepada golongan sasar dan melaksanakan pelan mitigasi. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana KPKM dan menggerakkan operasi di semua peringkat bagi membantu golongan petani, peladang, penternak dan nelayan yang terjejas akibat banjir yang melanda beberapa negeir ketika ini.
KPKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Bilik Gerakan Bencana KPKM di peringkat daerah dan negeri sedang memantau keadaan cuaca, membuat hebahan awal kepada golongan sasar dan melaksanakan pelan mitigasi bagi mengurangkan kerugian kepada sektor agromakanan negara ketika bencana berlaku.
"Pengaktifkan Bilik Gerakan Bencana adalah selaras dengan ramalan Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) pada 5 Nov 2024 hingga Mac 2025 dengan menjangkakan hujan lebat di beberapa negeri berpotensi berlaku banjir," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, KPKM sentiasa dalam keadaan siap siaga dan bersedia menggerakkan aset bagi membantu usaha menyelamat mangsa banjir sekiranya perlu dan mendapat kebenaran daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Pada 26 Nov lepas, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mengedarkan 60,000 Kit Bantuan Makanan bagi persediaan MTL melalui NADMA.
KPKM turut menyediakan bantuan pascabencana kepada warga yang terkesan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) dan Tabung Bencana Pertanian (TBP) dalam usaha membantu petani, penternak dan nelayan yang terkesan bencana dan memerlukan bantuan segera.
Sementara itu, laporan awal kejadian bencana bagi sektor tanaman semasa secara kumulatif dari 27 hingga 28 Nov adalah membabitkan 174 petani dengan anggaran keluasan 295 hektar kawasan pertanian dan anggaran nilai kerosakan RM837,535.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana KPKM di talian 03-88701663/1664/1491 atau e-mel bilikgerakan@kpkm.gov.my.
-- BERNAMA
#Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan #Bilik Gerakan Bencana KPKM #diaktifkan #Banjir 2024 #monsun timur laut #Bah Kuning
;