KPKK semak dakwaan sorok minyak masak peket, lesen boleh ditarik - Zuraida
Fareez Azman
Januari 16, 2022 12:58 MYT
Januari 16, 2022 12:58 MYT
AMPANG: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan menyemak keadaan sebenar jika wujud tindakan pengusaha minyak masak yang menyorokkan minyak masak peket (bersubsidi) di pasaran.
Menurut Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin, sekiranya mereka tertangkap, tindakan boleh diambil termasuk menarik balik lesen yang diberikan kementeriannya.
"Semalam saya ada program, ada peruncit dan penjual kata pasal minyak peket tiada.
"Hari ini saya periksa di sini (AEON BIG Ampang) ada (minyak masak), mungkin beberapa tempat stok tidak masuk lagi.
"Walau bagaimanapun saya akan semak apa keadaan sebenar, tadi saya periksa minyak peket itu di sini sebab semalam ada orang kata pasal perkara ini (sorok minyak masak)," jelasnya ketika ditemui Astro AWANI pada Ahad.
Tambah Zuraida, beliau tidak mendapat sebarang aduan berhubung tindakan pihak tertentu menyorok minyak masak peket di pasaran.
Bagaimanapun katanyanya, tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati melakukan kesalahan itu.
"Tapi ada (minyak masak peket) di sini, cuma dihadkan satu orang tiga peket.
"Saya tidak tahu dakwaan sorok, tapi kalau kita dapat maklumat kita akan tarik lesen dia, kalau mereka menyorok banyak lagi orang nak buat," jelasnya lagi.
Terdahulu, Zuraida mengadakan walkabout di pasaraya AEON BIG Ampang sempena Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) pada Ahad.