KPKK sedia siasat penyalahgunaan khidmat SMS
Bernama
November 21, 2012 09:19 MYT
November 21, 2012 09:19 MYT
Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan sedia mengambil tindakan sewajarnya jika mendapati ada unsur penyalahgunaan perkhidmatan oleh pemberi perkhidmatan telekomunikasi di negara
ini.
Timbalan Menteri Datuk Joseph Salang berkata setakat ini, maklumat yang dihantar menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) adalah secara rambang untuk berkongsi informasi penting seperti sambutan Hari Kemerdekaan dan ramalan cuaca.
"Kementerian tidak memikirkan bahawa perbuatan itu menyalahi Akta Perlindungan Data Peribadi 2009 oleh kerana ia bukan ditujukan kepada seseorang sahaja, tapi secara siaraya dan tidak memilih siapa yang menerimanya.
"Ia sebagai memberi maklumat tentang perayaan itu (Hari Kemerdekaan) dan tidak dihantar menuju kepada sesiapa, dan ini adalah untuk semua yang ada dan tidak kira orang parti Barisan Nasional (BN) atau parti pembangkang, ini adalah secara rambang sahaja," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 di Dewan Rakyat semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan Teo Nie Ching (DAP-Serdang) bahawa pemberi perkhidmatan menyalah guna perkhidmatan SMS yang dikatakan menyalahi privasi pelanggan.
Sementara itu, mengulas peranan Bernama TV sebagai saluran penyampaian maklumat, Salang berkata stesen televisyen itu akan dimiliki sepenuhnya oleh Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) tahun depan.
"Selepas penstrukturan semula Bernama TV, maka peruntukan baru akan dipohon tahun depan.
"Dan semua programnya boleh disusun atur oleh pihak Bernama dengan kerjasama kementerian," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) akan memastikan dapat melahir bakat seni yang setanding Allahyarham Tan Sri P.Ramlee menerusi program 'Kerusi P.Ramlee'.
"Saya tidak berjanji Aswara akan dapat menggantikan Allahyarham, namun cita-cita kita adalah untuk melahirkan bakat yang mungkin berkelainan tapi setinggi bakat P.Ramlee yang membanggakan kita," katanya.