KPK sedang rangka Pelan Tindakan Biojisim Negara - TPM Fadillah

Bernama
September 18, 2023 16:19 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sedang merangka Pelan Tindakan Biojisim Negara 2023-2030 yang selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata ini berikutan biojisim berperanan penting sebagai sumber tenaga selain turut menjadi antara sumber pendapatan baharu negara.
"Berikutan itu, kita akan menubuhkan pusat sehenti bagi mengumpul sisa biojisim sawit.
"Bahan mentah ini akan diproses untuk digunakan sebagai baja bio, makanan haiwan, penjanaan tenaga sert produk nilai tambah yang lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas isu ses sawit yang membebankan industri sawit, Fadillah berkata KPK mengambil maklum mengenai pengenaan Cukai Luar Biasa ke atas industri sawit.
"Walaubagaimanapun, kementerian sedang melaksanakan kajian pengenaan cukai industri sawit dan berharap ia akan dapat diselesaikan pada tahun depan. Perkara ini juga turut dibincangkan dengan Kementerian Kewangan," katanya.
Selain itu, beliau turut berkongsi mengenai pendirian KPK yang memandang serius terhadap isu ancaman Kesatuan Eropah (EU) serta implikasi ke atas industri sawit dan pelbagai tindakan telah diambil bagi memastikan industri itu tidak terjejas.
Ini termasuk mempergiat usaha agar EU mengiktiraf Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai syarat utama pematuhan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).
"Bagi menunjukkan komitmen Malaysia untuk menghasilkan minyak sawit mengikut prinsip dan kriteria mampan di bawah MSPO, KPK melalui Majlis Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia sedang (dalam proses) menambah baik pensijilan tersebut melalui MSPO 2.0," kata beliau.
-- BERNAMA
#Kementerian Perladangan dan Komoditi #Fadillah Yusof #Pelan Tindakan Biojisim Negara #Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara #Dewan Rakyat
;