KPK sasar 90,000 kg minyak sawit terpakai menjelang akhir tahun - Fadillah

Bernama
November 25, 2023 14:40 MYT
Datuk Seri Fadillah Yusof berkata bagi mencapai sasaran itu, program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai akan diperluas ke stesen minyak Petronas di seluruh negara secara berperingkat. - Gambar fail
KUCHING: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dengan kerjasama Petronas Dagangan Bhd (PDB) menyasarkan pengumpulan 90,000 kilogram (kg) minyak sawit terpakai melibatkan penyertaan 6,000 orang awam pada akhir tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata bagi mencapai sasaran itu, program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai akan diperluas ke stesen minyak Petronas di seluruh negara secara berperingkat.
"Pada 2024, kita menyasarkan perluasan ke 50 stesen minyak Petronas di seluruh negara dengan sasaran jumlah pengumpulan 528,000 kg dan penyertaan 40,368 orang awam.
"Usaha pengumpulan minyak masak terpakai ini juga langkah proaktif pihak Petronas sebagai persediaan untuk mengkomersialkan bahan api penerbangan mampan (SAF) bagi memenuhi tuntutan Skim Pengimbangan dan Pengurangan Karbon bagi Penerbangan Antarabangsa (CORSIA)," katanya ketika berucap di program itu sempena Trek Komoditi 2023 Zon Sarawak di sini, pada Sabtu.
Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai bertujuan memberi kesedaran kepada komuniti mengenai kepentingan amalan mengitar semula minyak masak terpakai demi menjaga alam sekitar serta membuka peluang menjana pendapatan tambahan kepada isi rumah.
Inisiatif berkenaan yang dilancarkan pada 18 Julai lepas di Stesen Petronas, Putrajaya kini sudah dikembangkan ke 33 stesen Petronas seluruh negara, dengan dua daripadanya di Sarawak iaitu Petronas Astana, Kuching dan Petronas Desa Senadin, Miri.
Fadillah turut menyarankan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan rumah ibadat untuk memainkan peranan dalam memudahkan komuniti setempat mengumpul minyak masak terpakai sebelum menghantar ke stesen minyak terpilih.
"Jadi JKKK, surau rumah ibadat yang lain adakan pusat pengumpulan minyak masak secara kelompok dan hasil daripada jualan minyak itu boleh (digunakan untuk menganjurkan) program seperti bakul makanan, memberi manfaat kepada kawasan setempat mereka," katanya.
Trek Komoditi Zon Sarawak yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini meliputi kawasan selatan Bumi Kenyalang antaranya Asajaya, Simunjan, Serian dan Kota Samarahan.
-- BERNAMA
#KPK #Fadillah Yusof #Timbalan Perdana Menteri #minyak masak terpakai
;