KPK ambil tindakan tegas pamer label diskriminasi minyak sawit

Bernama
Februari 7, 2024 16:30 MYT
KPK akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan berhubung isu pelabelan bersifat diskriminasi atau negatif terhadap minyak sawit. -Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan berhubung isu pelabelan bersifat diskriminasi atau negatif terhadap minyak sawit.
KPK dalam kenyataan memaklumkan kementerian itu memandang serius isu berkenaan dan tindakan tegas akan diambil terhadap pengimport, pengedar, penjual dan pihak berkaitan yang melakukan kesalahan tersebut.
"Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF) telah menjalankan suatu pemeriksaan berhubung Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan atau Petunjuk (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022 terhadap beberapa buah premis di sekitar negeri Selangor pada 26 Januari lepas.
"Pemeriksaan mendapati bahawa masih terdapat beberapa produk makanan di premis-premis tersebut yang mempamerkan secara jelas label bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit (DLAPO) yang berbentuk pernyataan, ungkapan atau petunjuk seperti "tiada minyak sawit" atau "tanpa minyak sawit"," menurut kenyataan itu.
Premis terbabit yang antaranya menjual makanan bayi dan makanan import didapati mempamerkan DLAPO selain terdapat syarikat pengimport menampal pelekat 'diimport dan edarkan oleh' pada label berupa DLAPO pada produk yang diperiksa.
"Semasa pemeriksaan, pengurus premis telah diberi penerangan berhubung larangan penggunaan label tersebut dan telah diminta supaya mengosongkan rak sehingga tindakan susulan diambil.
"Amaran juga telah dikeluarkan kepada premis-premis yang terlibat untuk menghentikan penjualan produk yang mempunyai pelabelan bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit dan mengeluarkan produk sedia ada di pasaran dengan kadar segera," menurut kementerian itu.
Menurut KPK teknik pelabelan sedemikian memberikan tanggapan negatif kepada pengguna bahawa penggunaan minyak sawit memudaratkan kesihatan, selain menjejaskan reputasi minyak sawit keluaran negara serta melanggar prinsip perdagangan yang adil dan telus.
Berdasarkan Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022 berkuat kuasa pada 15 Mac 2022, mana-mana orang yang melanggar peraturan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM220,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun apabila disabitkan.
-- BERNAMA
#minyak sawit #KPK #Kementerian Perladangan dan Komoditi #pelabelan bersifat diskriminasi atau negatif
;