KPJ Selangor gerakkan pemberian suntikan vaksin untuk warga emas terlantar

Raja Hisyam Raja Zaid
Jun 15, 2021 14:04 MYT
KPJ Selangor menggerakkan program itu sebagai salah satu program CSR untuk membantu warganegara Malaysia dalam kalangan pesakit terlantar dan warga emas untuk mendapatkan vaksin COVID-19. - KPJ Selangor/Astro AWANI
SHAH ALAM : Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telahpun memasuki fasa kedua yang menumpukan kepada golongan berisiko tinggi dan warga emas.
Namun begitu, tidak dapat dinafikan program itu perlu digiatkan lagi dalam memastikan tiada golongan yang tercicir daripada mendapatkan vaksin COVID-19.
Menyedari hakikat itu, Hospital Pakar KPJ Selangor yang merupakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dilantik mula menggerakkan usaha agar pesakit terlantar yang memerlukan rawatan dan penjagaan khas, dan telah mendapat janji temu vaksinasi di KPJ Selangor dalam aplikasi MySejahtera, dibantu bagi memperolehi suntikan vaksin COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Selangor, Farahiyah Badri berkata, ia adalah sebahagian usaha memudahkan penerima vaksin COVID-19 dan menyahut usaha kerajaan dalam memastikan kadar peningkatan penerima vaksin COVID-19 dalam kalangan mereka yang sukar untuk hadir ke PPV.
“Ini adalah salah satu program CSR kami untuk membantu warganegara Malaysia dalam kalangan pesakit terlantar dan warga emas untuk mendapatkan vaksin COVID-19.
“Residen di sini telah didaftarkan oleh ahli keluarga dan mendapat janji temu di KPJ Selangor melalui aplikasi MySejahtera. Tugas kami adalah membantu mereka untuk memudahkan urusan vaksinasi COVID-19,” katanya ketika ditemui pada program vaksinasi untuk pesakit terlantar dan penjagaan khas di Pusat Rawatan Columbia Asia Extended Care, pada Selasa.
Tambahnya lagi, pihaknya terbuka untuk membantu sekiranya ada keperluan dari segi pengurusan vaksinasi COVID-19 di pusat-pusat jagaan lain seperti rumah penjagaan golongan warga emas.
Sementara itu menurut Pakar Perunding Gastroenterologist KPJ Selangor, Dr. Zainal Ariffin Hashim, seramai 35 pesakit yang terlantar disuntik vaksin COVID-19 pada program ini di pusat berkenaan selepas mendapat persetujuan dan kebenaran oleh kesemua ahli keluarga mereka.
“Pesakit-pesakit di sini adalah keutamaan kerana mereka ini adalah golongan berisiko tinggi yang berusia 60 tahun ke atas dan mempunyai banyak masalah kesihatan. Kumpulan inilah yang harus diutamakan untuk mendapat vaksin COVID-19,” jelasnya.
COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)
#GERAKAN #Asia #warga emas #Malaysia #COVID-19 #Pusat Pemberian Vaksin #vaksin #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #suntikan #PPV #MySejahtera #PICK
;