KPJ Puteri lancar suite pengimejan MRI 3T pertama di Johor
Bernama
April 29, 2022 05:15 MYT
April 29, 2022 05:15 MYT
JOHOR BAHRU: KPJ Puteri Specialist Hospital melancarkan suite pengimejan yang diubah suai bernilai RM12.21 juta yang kini menawarkan mesin MRI 3 Tesla (MRI 3T) yang pertama, menyediakan diagnostik dan keputusan pesakit yang lebih baik.
Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Puteri Haliza Khalid berkata sistem MRI 3T, dilengkapi dengan perisian tiga dimensi mampu memberikan diagnosis yang lebih tepat dan cepat.
Beliau berkata imbasan MRI beresolusi tinggi, terperinci dan jelas dapat dihasilkan untuk organ kecil, iaitu prostat, payudara, sendi dan sistem saraf, saraf tunjang dan tulang belakang, yang kemudiannya digunakan untuk mengenal pasti dan merawat pesakit, seperti untuk otak, kanser dan kecederaan berkaitan sukan.
"Pesakit juga akan diberikan muzik melalui fon kepala untuk membantu mereka kekal tenang semasa proses imbasan," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Beliau berkata mesin itu sejajar dengan komitmen KPJ Puteri untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik, kemudahan terkini dan menawarkan pengalaman pelanggan yang terbaik. Pesakit yang menetap di Johor kini boleh menerima rawatan di peringkat setempat, tanpa perlu pergi ke Kuala Lumpur atau Singapura.
Sistem MRI 3T merupakan teknologi terkini dalam pengimejan seluruh badan untuk pengesanan dan pencirian penyakit dalam pemeriksaan, diagnosis, perancangan pembedahan, pemantauan terapeutik dan rawatan susulan.
-- BERNAMA