KPJ Kuching laksana 206 pembedahan lutut guna teknologi robotik

Astro Awani
Mac 31, 2024 17:20 MYT
Dr Lee Woo Guan, berkata kaedah pembedahan invasif minimum ini mengurangkan kecederaan semasa pembedahan.
KUCHING: Sebanyak 206 prosedur pembedahan ganti sendi lutut berjaya dilakukan menggunakan teknologi canggih Pembantu Pembedahan Robotik (ROSA) di Hospital Pakar KPJ Kuching sejak Ogos lalu.
Menurut pakar bedah ortopediknya, Dr Lee Woo Guan, kaedah pembedahan invasif minimum ini mengurangkan kecederaan semasa pembedahan.
Ia sekali gus memendekkan masa pemulihan pascapembedahan kepada tempoh kurang dua minggu untuk pesakit kembali berjalan tanpa memerlukan tongkat, berbanding empat minggu jika menggunakan kaedah tradisional.
“Ia mengurangkan kesilapan pembedahan, maksudnya tidak perlu lepaskan banyak ligamen. Maka pemulihan pesakit akan lebih cepat dan apabila penjajaran (alignment) itu betul maka implan itu boleh tahan lama sehingga 25 tahun.
“Peranan robot itu bermula sebelum pembedahan dengan pesakit perlu melakukan imbasan sinar-X khas untuk melihat penjajaran lutut dari pinggul ke buku lali dan kemudiannya dihantar ke pusat mesin di Montreal, Kanada untuk menjana model khas pembedahan yang disesuaikan bagi pesakit berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media dalam sebuah majlis tertutup '200 Leaps, A Million Smiles: KPJ Kuching's Remarkable Journey with ROSA' yang disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dekat sini pada Khamis.
Katanya lagi, Hospital Pakar KPJ merupakan pusat rawatan yang pertama dan satu-satunya fasiliti kesihatan di Borneo yang mempunyai teknologi robotik untuk penjagaan ortopedik pada waktu ini dengan kos yang lebih murah berbanding di Semenanjung Malaysia.
“Kos pembedahan bagi satu lutut di sini adalah bermula daripada RM31,888 untuk sebelah lutut dan bermula RM58,888 ribu untuk kedua-dua lutut berbanding RM40,000 untuk satu lutut dan RM70,000 untuk dua lutut di Semenanjung,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan berkata pihaknya mahu memperluas penggunaan teknologi robotik di pelbagai fasiliti kesihatan KPJ di wilayah lain bagi mengulangi kejayaan yang sama.
“Antaranya kami melihat kepada Hospital Pakar KPJ Ipoh, Hospital Pakar KPJ Damansara 2, Hospital Pakar KPJ Puteri, dan satu lagi di Sarawak iaitu di Pusat Perubatan Pakar KPJ Sibu,”
katanya.
#kpj kuching #pembedahan lutut #teknologi robotik #Dr Lee Woo Guan
;